Bawa Grab, jual kek, ikat perut berjimat demi keperluan sekolah anak


Sheridan Mahavera Nabihah Hamid Zaim Ibrahim Desmond Davidson

Ibu bapa berpendapatan rendah dan sederhana berharap kerajaan turunkan kos pakaian sekolah, yuran, buku dan alat tulis pada setiap tahun. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 17 Disember, 2019.

AHMAD Fahmi fikir dia mungkin dapat menjimatkan kos kelengkapan sekolah untuk anak-anaknya tahun ini memandangkan baju sekolah anak perempuannya yang bersekolah Darjah Tiga masih muat dan boleh digunakan.

Namun pihak sekolah secara tiba-tiba menukar warna pakaian sekolah dan disebabkan itu, ibu bapa seperti Ahmad Fahmi terpaksa mengeluarkan belanja lebih untuk menukar semua uniform sekolah anaknya bagi sesi persekolahan akan datang ekoran peraturan baharu tersebut.

Kes yang dilaluinya menunjukkan bagaimana kalangan sekolah menjadi punca kesusahan yang perlu dihadapi oleh golongan ibu bapa berpendapatan rendah dan sederhana untuk membeli kelengkapan sekolah yang semakin mahal untuk anak masing-masing
 
Ahmad Fahmi antara 10 keluarga yang ditemui The Malaysian Insight dan mereka mahu kerajaan bertindak lebih tegas dalam mengawal kos kelengkapan barang sekolah atau bantuan kepada keluarga yang berpendapatan bawah RM4,000 (B40).

Mereka merasakan kerajaan boleh melakukan lebih baik dalam menurunkan kos pakaian sekolah, yuran, buku dan alat tulis yang diperlukan kanak-kanak pada setiap tahun.

‘Jika saya tidak perlu menukar uniform sekolah anak, saya mungkin dapat menjimatkan sedikit wang kerana semua pakaian sekolahnya masih elok dan boleh digunakan lagi,” kata Ahmad Fahmi yang ditemui di Dengkil baru-baru ini.

“Namun akibat sebab yang tidak munasabah, sekolah menukar warna pakaian bagi uniform sekolah pada tahun depan dan saya perlu membeli set pakaian baharu untuk anak saya kerana pakaian lamanya sudah tidak boleh digunakan.”

“Jika mereka memberi kami tempoh dua tahun (untuk tukar uniform), sekurang-kurangnya kami boleh menggunakan pakaian sekolah yang lama dan membeli pakaian baharu untuk menggantikan yang lama,” kata bapa empat orang anak itu yang berpendapatan RM3,000 sebulan.

Dia menganggarkan perbelanjaan RM200 bagis setiap anak perempuannya, seorang Darjah Tiga dan seorang lagi akan memasuki Darjah Satu.

Ahmad Fahmi yang bekerja sebagai juruteknik, antara 10 keluarga yang ditemui The Malaysia Insight di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Sarawak baru-baru ini bagi mendapatkan maklumat tentang persediaan mereka bagi menghadapi musim persekolahan baharu dalam tempoh dua minggu lagi.

Kebanyakan ibu bapa memberi keperluan sekolah anak-anak secara berperingkat pada setiap bulan. Ada yang memandu Grab atau menjual kek untuk mendapat duit sampingan.

Malah ada juga yang bekerja lebih masa serta mengikut perut demi menyimpan duit bagi membeli barangan keperluan sekolah untuk anak mereka.

Itu antara strategi ibu bapa untuk memenuhi keperluan anak mereka bagi menghadapi musim persekolahan tanpa perlu meminjam daripada bank. – 17 Disember, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen