Polis panggil ahli politik siasat tuduhan Yusoff ke atas Anwar


Kalidevi Mogan Kumarappa

Pihak polis sudah merakam percakapan lapan saksi dan akan memanggil beberapa lagi individu termasuk ahli politik untuk membantu melengkapkan siasatan dakwaan salah laku seks. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Disember, 2019.

POLIS akan memanggil beberapa lagi individu termasuk ahli politik bagi menyiasat dakwaan pencabulan oleh bekas penyelidik Anwar Ibrahim.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed berkata setakat ini pihaknya sudah merakam percakapan lapan saksi dan akan memanggil beberapa lagi individu.

Ketika dtanya, Huzir mengaku individu yang akan dipanggil itu melibatkan ahli politik, namun enggan mendedahkan bilangannya.

“Setakat ini kita telah merakam percakapan lapan saksi dan akan memanggil beberapa lagi individu termasuk ahli politik untuk membantu melengkapkan siasatan,” katanya.

Dalam sidang media di Shah Alam, hari ini.

Katanya, polis juga akan menggunakan ujian poligraf sekiranya perlu untuk menyiasat kesahihan dakwaan bekas penyelidik berkenaan, Muhammed Yusoff Rawther, 

Siasatan itu ke atas laporan polis yang dibuat oleh Yusoff baru-baru ini.

Beliau mendakwa dicabul oleh presiden PKR pada 2 Oktober tahun lepas. Dakwaan itu turut dimuatkan dalam satu kenyataan berkanun beliau.

Tuduhan itu dinafikan Anwar, yang mendakwa sedang berkempen pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Port Dickson pada tarikh berkenaan.

Setakat ini, polis sudah merakam keterangan Anwar dan Yusoff. – 16 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen