Peguam negara arah polis siasat 1MDB sekali lagi


Yasmin Ramlan

PEGUAM Negara Mohamed Apandi Ali mengarahkan polis menjalankan siasatan lanjut kali kedua berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman Said.

“Penyiasatan lanjut berhubung kes 1MDB sedang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia berdasarkan arahan peguam Negara pada 24 Oktober, 2017.

“Oleh sebab siasatan masih dijalankan, apa-apa pendedahan mengenai butiran siasatan boleh menjejaskan dan prejudis terhadap usaha siasatan yang sedang dijalankan polis dan perkara ini harus dihormati semua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan lisannya pada 24 Oktober lalu sebagai menjawab soalan lisan Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo yang bertanya mengenai status siasatan dalam kes 1MDB.

Ini memandangkan ketua polis negara sebelum ini, Khalid Abu Bakar pada 12 April, 2017 berkata kertas siasatan sudah siap dan dihantar ke Jabatan Peguam Malaysia.

Khalid enggan mendedahkan alasan Jabatan Peguam Negara mengembalikan laporan siasatan polis ke atas 1MDB dan hanya berkata kes itu masih dalam siasatan.

Apandi pada Jun lalu berkata tidak ada bukti penyalahgunaan wang 1MDB daripada mana-mana penyiasatan agensi penguatkuasaan undang-undang membabitkan pelbagai bidang kuasa.

Beliau berkata demikian susulan tindakan undang-undang sivil dibuat oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ).

DoJ dalam saman sivilnya untuk menyita hartanah dibeli menggunakan wang diselewengkan daripada 1MDB mendakwa antara 2009 dan 2015, lebih AS$4.5 bilion wang milik 1MDB dipindahkan oleh pegawai tertinggi syarikat itu dan sekutunya.

Tahun lalu DoJ memfailkan saman sivil untuk merampas aset lebih AS$1 bilion yang dibeli menggunakan dana yang didakwa diseleweng daripada 1MDB.

Setahun kemudian pada Jun, DoJ memfailkan satu agi saman untuk merampas aset bernilai AS$540 juta (RM2.31 bilion) termasuk kapal layar Equanimity bernilai AS$165 juta milik Jho Low, rantai berlian bernilai AS$27.3 juta untuk isteri Malaysian Official No 1 (MO1) dan hak penyiaran rancangan komedi “Dumb and Dumber To” untuk yang dihasilkan syarikat produksi Red Granite milik anak tiri Najib, Riza Aziz.– 30 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen