POLIS akan mendapatkan pandangan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) berhubung dua keterangan pakar yang berbeza mengenai laporan bedah siasat ke atas mayat anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.
Polis juga akan memanggil beberapa individu untuk diambil keterangan, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Huzir Mohamed.
“Kita akan memohon kepada MMC untuk mendapatkan pandangan mereka (berhubung keterangan dua pakar) mengenai laporan bedah siasat yang dikeluarkan (dalam kes kematian Adib).
“Unit Siasatan Tempat Kejadian Jenayah (CSI) Makmal Forensik Bukit Aman juga akan membuat ‘3D scanner’ iaitu salah satu proses lakonan semula bagi mendapatkan gambaran sebenar kejadian,” katanya pada sidang media di Shah Alam, hari ini.
Pada 27 September lalu, Koroner Rofiah Mohamad memutuskan Adib meninggal dunia akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu yang tidak dikenali.
Susulan itu, polis membuka semula siasatan kes bagi mengesan pelaku yang mengakibatkan kematian anggota bomba itu.
Dalam menentukan keputusannya, Rofiah berkata mahkamah menerima teori saksi ke-29, pakar patalogi forensik Prof Dr Shahrom Abd Wahid bahawa perusuh menendang pintu van bomba yang mengena dada Adib, sebelum mereka menariknya keluar.
“Oleh itu, teori terpelanting yang dikemukakan saksi ke-24, Dr Ahmad Hafizam ditolak sepenuhnya,” kata Rofiah.
Dr Shahrom adalah saksi yang menyangkal laporan bedah siasat ke atas Adib serta keterangan dua pakar perubatan forensik Hospital Kuala Lumpur, Dr Ahmad Hafizam dan Dr Mohd Shah Mahmood.
Dua pakar itu semasa inkues memberi keterangan antara lain, corak kecederaan pada Adib tidak padan dengan kecederaan pukulan, dan tiada kesan kecederaan lain yang padan dengan tindakan mempertahankan diri.
Adib, 24, anggota penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah dalam rusuhan dekat Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya pada 27 November tahun lepas dan meninggal dunia pada 17 Disember berikutnya di Institut Jantung Negara. – 16 Disember, 2019.
Komen