Benarkah Pakatan gagal bela pekerjaan rakyat?


Noor Amin Ahmad

SEMALAM Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan dipetik Sinar Harian menyindir yang Pakatan Harapan naik dengan janji satu juta pekerjaan namun semakin ramai hilang pekerjaan sejak setahun lalu. Tulisan ini dimuat naik di laman Facebook beliau dengan memetik secara umum sumber-sumber berita daripada pelbagai media.

Isu pekerjaan tentulah penting terutamanya dalam usaha mencapai agenda kemakmuran bersama. Kerja bukan sahaja menghasilkan produktiviti yang menyumbang kepada keluaran dalam negara. Lebih penting lagi ialah kerja menjana pendapatan dan sekaligus kuasa beli kepada rakyat. Jadi wajarlah dakwaan Mohamad ini dibincang secara saksama.

Pekerjaan di Malaysia

Pertama sekali, dari tahun ke tahun, sumber data pekerjaan boleh dirujuk kepada beberapa sumber yang lebih berautoriti dan dipertanggungjawabkan. Barulah perbandingan corak dan perbandingan yang ingin dibuat lebih adil.

Daripada data ini dapat dilihat antara tahun 2013 sehingga tahun 2019 ada pertambahan jumlah tenaga kerja dan guna tenaga. Namun, meskipun dari segi jumlah menunjukkan ada peningkatan pengangguran (kerana pertambahan tenaga buruh dan guna tenaga) daripada kira-kira hamper 450,000 kepada lebih 510,000 orang, peratus pengangguran menunjukkan corak berbeza iaitu menurun, meningkat, menurun dan stabil.

Ini menunjukkan bahawa peluang pekerjaan sentiasa bertambah di Malaysia. Dari tahun 2013 ke suku kedua tahun 2018 (jumlah tenaga buruh 15.28 juta orang, guna tenaga 14.78 juta orang berdasarkan Statistik Utama Tenaga Buruh, Malaysia, Suku Kedua (S2) 2018 yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan pada Jumaat, 9 Ogos 2018), jumlah tenaga buruh bertambah kira-kira 1.3 juta orang manakala guna tenaga bertambah sekitar 1.2 juta orang.

Rujukan: Data tenaga buruh, guna tenaga dan pengangguran adalah berdasarkan Jadual Perangkaan Pasaran Buruh Tinjauan Ekonomi 2019 dan 2020 yang diambil daripada Jabatan Perangkaan, Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri. Data tahun 2019 adalah berdasarkan Statistik Utama Tenaga Buruh, Malaysia, Suku Ketiga (S3) 2019 yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan pada Isnin, 11 November 2019.

Ini menjadikan antara PRU13 ke PRU14, purata setiap suku penggal terdapat pertambahan kira-kira 65,000 tenaga buruh baru dan kira-kira 61,250 guna tenaga baru.

Selepas PRU14, bermula dari data suku kedua 2018 sehingga data semasa yang terakhir diterbitkan sehingga kini iaitu pada suku ketiga 2019, jumlah tenaga kerja bertambah sebanyak kira-kira 390,000 orang manakala guna tenaga bertambah sekitar 380,000 orang. Ini menjadikan sejak PRU14, purata suku penggal terdapat pertambahan kira-kira 78,000 jumlah tenaga kerja baru manakala guna tenaga baru bertambah sekitar 76,000 orang.

Ini menunjukkan bahawa secara purata semakin banyak peluang pekerjaan tersedia secara purata bagi setiap suku tahun selepas PRU14 berbanding setiap suku tahun sepanjang penggal pentadbiran lalu. Ini menjelaskan kenapa selepas PRU14, kadar pengangguran telah menurun dan stabil.

Jika corak ini dikekalkan, maka dalam tempoh lima tahun tidak kurang 1.5 juta peluang pekerjaan akan disediakan, sekaligus melebihi sasaran penyediaan 1 juta peluang pekerjaan dalam tempoh lima tahun. Semasa PRU14, BN meletakkan sasaran penyediaan pekerjaan sebanyak 3 juta. Jika mengambil corak pertambahan pekerjaan antara tahun 2013 sehingga suku tahun 2018, sasaran ini pasti meleset.

Namun semua ini hanyalah unjuran berdasarkan prestasi yang telah berlaku.

Meskipun corak pengangguran menunjukkan ada peningkatan, penurunan dan stabil, angka-angka ini secara relatifnya masih baik. Ahli-ahli ekonomi mungkin berbeza pendapat tentang satu angka tetap, tetapi kadar pengangguran di Malaysia masih lagi termasuk ke dalam kategori pekerjaan penuh.

Ahli-ahli ekonomi tidak menilai pekerjaan penuh sebagai sifar pengangguran tetapi menilai kadar positif yang stabil untuk pengangguran kerana dari mengambil kira sifat ekonomi yang berubah, tidak menentu di mana pekerja boleh menukar pekerjaan. Naik turun ekonomi dari semasa juga menyumbang kepada situasi pasaran buruh yang berubah-ubah.

Hilang pekerjaan

Hilang pekerjaan pastilah satu pengalaman sukar bagi yang menghadapinya. Faktornya boleh pelbagai. Sebagai seorang yang pernah bekerja di sektor awam, swasta dan badan bukan kerajaan, saya dapat melihat ada sebab-sebab kehilangan kerja yang tidak dapat dielak misalnya projek khusus yang dikendalikan telah berakhir atau pilihan sukarela sama ada kerana tidak ada pilihan lebih baik atau memberi keutamaan berbeza.

Mari kita lihat data hilang pekerjaan dari tahun 2013 sehingga suku ketiga tahun 2019.

Rujukan: Bank Negara Malaysia dalam Laporan Tahunan 2017 menunjukkan graf pemberhentian kerja dari tahun 2012-2017 berdasarkan sumber Jabatan Perangkaan, Kementerian Sumber Manusia dan anggaran Bank Negara Malaysia sendiri. Bagi tahun 2018 dan tahun 2019, data adalah daripada jawapan YB Menteri Sumber Manusia kepada soalan ahli Parlimen Jeli di Dewan Rakyat pada 4 November 2019.

Daripada data-data ini, kita dapat melihat dengan jelas bahawa sejak tahun 2018, corak pemberhentian kerja jauh lebih rendah jika dibandingkan antara tahun 2013-2017 yang secara purata menunjukkan pemberhentian kerja sebanyak kira-kira 35,200 orang setahun.

Sudah tentu, meskipun corak pemberhentian kerja ini jauh lebih rendah, sebagaimana telah dinyatakan lebih awal, pemberhentian kerja adalah satu pengalaman sukar yang perlu diberi perhatian oleh semua pihak.

Saya tidak berhasrat menukilkan apakah sistem jaringan keselamatan sosial yang ada untuk pekerja. Sebahagiannya telah saya bangkitkan dalam beberapa siri soal jawab dan bahas di Dewan Rakyat sejak dipilih sebagai ahli Parlimen semasa PRU-14.

Kita mesti mampu membezakan masalah ekonomi yang ternampak atau dirasa (presenting problem) dengan masalah ekonomi sebenar (real problem).

PH tidak menang dalam situasi ekonomi negara yang sepenuhnya bersih dan elok. Kita tahu ada sejumlah kes salah guna kuasa dan kecurangan ekonomi yang bukan sahaja sedang dibawa dan diusaha untuk dibawa ke muka pengadilan, tetapi juga menjadi bahan perbualan masyarakat dunia.

Masalah yang nampak mungkin penyelewengan tetapi masalah sebenar ialah tatakelola pemerolehan mesti diperbaiki.

Pada masa yang sama kita berdepan situasi sukar kerajaan kerana pertambahan hutang langsung kerajaan disebabkan corak belanjawan kita sekurang-kurangnya sejak 2013 telah menunjukkan antara 95-99% hasil kutipan pelbagai cukai dan terimaan digunakan untuk perbelanjaan mengurus. Justeru itu hampir keseluruhan perbelanjaan pembangunan dibuat secara berhutang. Jumlah pembayar cukai pula kecil, menunjukkan ramai pekerja di Malaysia bergaji rendah.

Masalah yang nampak mungkin penjimatan kerajaan untuk mengelak kegagalan mengurus hutang. Masalah sebenar kita ialah pendapatan boleh guna rakyat kecil.

Tahun depan Tinjauan Ekonomi Dunia (World Economic Outlook) telah berkali-kali meramal kemerosotan ekonomi global. Peningkatan besar belanja sosial kebajikan daripada 9.5 % (sekitar RM26.6 billion) pada tahun 2017 kepada 13.5% (sekitar RM39.5 billion) dalam Belanjawan 2020 mesti diterjemahkan kepada rasa gembira rakyat kerana nasib mereka terbela.

Ketika PH dinilai lemah, sebenarnya banyak yang telah dicapai dalam tempoh relatif singkat satu tahun setengah. Bayangkan jika PH memimpin dalam keadaan masalah tatakelola yang minima dan situasi ekonomi global sekurang-kurangnya stabil. Pasti lebih banyak yang boleh dicapai.

Penyampaian perkhidmatan kerajaan perlu diperbaiki agar erti kemakmuran bersama dapat lebih dinikmati dan dirasakan. Tuduhan buruk parti pembangkang perlu dijawab dengan penjelasan yang baik dan tuntas.

Ayuh kita semarakkan Malaysia bekerja untuk kemakmuran bersama! – 16 Disember, 2019.

* Noor Amin Ahmad ialah ahli Parlimen Kangar. Baru-baru ini beliau dilantik menganggotai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Belanjawan. Beliau juga telah dipilih menjadi ahli jawatankuasa pemandu jaringan ahli Parlimen muda Bank Dunia.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen