Putrajaya pertimbang pengecualian cukai untuk bantu syarikat media, kata Guan Eng


Kalidevi Mogan Kumarappa Lee Chi Leong

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata kerajaan sedia beri pengecualian cukai kepada syarikat media sekiranya mereka memberi jaminan tidak akan membuang pekerja. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 16 Disember, 2019.

KERAJAAN sedia memberi pengecualian cukai kepada syarikat media sekiranya mereka memberi jaminan tidak akan membuang pekerja, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Katanya, satu perjumpaan sudah diadakan bersama pemilik-pemilik syarikat media minggu lalu, ketika industri media dilanda krisis kewangan sehingga menyebabkan ribuan pekerja dari Kumpulan Utusan Melayu (M) Berhad dan Media Prima Berhad kehilangan pekerjaan.

“Dalam perjumpaan itu, mereka ada menyuarakan mengenai langkah pencukaian dan pengecualian cukai.

“Jadi, saya menyatakan sekiranya mereka boleh memberi jaminan tidak akan membuang pekerja, kami akan mempertimbangkan untuk pengecualian cukai,” katanya dalam sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor hari ini.

Menurutnya, kerajaan tidak boleh campur tangan pengurusan syarikat media tetapi pasti memandang berat isu pembuangan pekerja media.

Media Prima Berhad akan menamatkan perkhidmatan 543 pekerja daripada Kumpulan NSTP bermula 12 Mac tahun depan.

Pengerusi Kesatuan Pekerja Wartawan (NUJ) NSTP Farah Marshita Abdul Patah dalam satu kenyataan berkata, pekerja itu adalah daripada akhbar New Straits Times, Berita Harian dan Harian Metro.

Semalam, Gerakan Media Merdeka (Geramm) mendesak supaya semua pekerja terlibat menerima pampasan sewajarnya.

Geramm berkata desakan itu dikeluarkan susulan aduan beberapa pihak dalam pengurusan syarikat menerima gaji lumayan sejak bertahun-tahun lamanya sehingga menjadi salah satu punca kegawatan kewangan syarikat.

9 Oktober lalu, Syarikat Utusan Melayu (Malaysia) Berhad mengesahkan penghentian operasi dan lebih 700 kakitangannya kehilangan kerja. – 16 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen