PILIHAN Raya Kecil Kimanis, Sabah akan dijalankan pada 18 Januari 2020, umum Suruhanjaya Pilihan Raya hari ini.
Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun berkata hari penamaan calon ditetapkan pada 4 Januari dan pengundian awal akan dijalankan pada 14 Januari.
“29,664 layak mengundi dalam PRK ini,” katanya di Ibu Pejabat SPR, Putrajaya hari ini selepas mesyuarat bersama pesuruhjaya.
PRK itu diadakan susulan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2 Disember untuk mengekalkan penghakiman Mahkamah Pilihan Raya untuk membatalkan kemenangan Anifah Aman di kerusi Parlimen Kimanis pada Pilihan Raya Umum ke-14, tahun lepas.
Anifah ketika itu mewakili Barisan Nasional- Umno, beliau kemudiannya keluar parti pada September lepas selepas BN gagal mempertahankan Putrajaya.
Apabila ditanya sama ada Anifah mungkin memfailkan semakan semula, Azhar berkata SPR akan tetap mengikut keputusan mahkamah.
“Kami akan ikut penghakiman mahkamah sehingga ia digantung atau diketepikan oleh mahkamah.
“Setakat ini tiada arahan sebegitu. Kami akan bertindak jika ada sebarang arahan daripada mahkamah.”
Susulan penghakiman Mahkamah Persekutuan, peguam kanan Anifah, Tengku Ahmad Fuad pada 9 Disember lalu dilaporkan berkata anak guamnya akan memfailkan permohonan untuk semakan semula.
Azhar juga mendedahkan SPR akan menghabiskan RM3.6 juta untuk PRK Kimanis.
Tambahnya, 653 pegawai SPR akan bertugas, dan 20 pusat mengundi dengan 69 saluran mengundi akan dibuka. – 16 Disember, 2019.
Komen