TUJUH negeri kini dilanda banjir, dengan Johor yang paling teruk terjejas melibatkan lebih 9,000 penduduk yang dipindahkan ke pusat pemindahan, ketika pihak berkuasa memberi amaran hujan lebat diramal berterusan sekurang-kurangnya sehingga esok, lapor Bernama.
Enam negeri lain ialah Melaka, Pahang, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak.
Setakat 9 pagi ini, 9,151 orang dipindahkan ke beberapa pusat pemindahan di serata Johor, kata exco alam sekitarnya Tan Chen Choon.
Jumlah itu meningkat mendadak daripada 5,592 orang yang dipindahkan setakat 5 petang semalam.
Antara daerah yang teruk terjejas banjir di Johor ialah Kluang, Mersing, dan Kota Tinggi, dengan beberapa tempat dilaporkan terputus hubungan kerana jalan raya ditutup akibat dinaiki air.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) semalam mengeluarkan notis amaran cuaca buruk dengan hujan lebat di beberapa kawasan di Pahang dan Johor yang diramal berterusan sehingga esok.
Kawasan yang diramal bakal dilanda hujan lebat ialah Rompin di Pahang serta Segamat, Kluang, Mersing, Kulai dan Kota Tinggi di Johor.
Dalam notis sama, MetMalaysia turut memberi amaran waspada hujan lebat di beberapa kawasan di Negeri Sembilan dan seluruh Melaka.
Sementara itu, Menteri Besar Johor Dr Sahruddin Jamal dipetik berkata kerajaan negeri tiada masalah untuk menambah peruntukan bantuan kepada agensi terlibat bagi membantu mangsa banjir, namun ia bergantung kepada keperluan.
Katanya, setakat ini kerajaan Johor sudah menyalurkan peruntukan RM1.1 juta kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat manakala kerajaan persekutuan memperuntukkan RM500,000 sebagai bantuan.
“Jadi, kalau ada keperluan kita akan bagi lagi, tidak ada masalah,” katanya, dipetik Bernama.
Keluarga diraja Johor diketuai Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bersama Permaisuri Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah hari ini dijadual melawat pusat pemindahan sementara mangsa banjir. – 16 Disember, 2019.
Komen