NSTP akan buang 534 pekerja, kecilkan biro negeri


543 pekerja tiga akhbar utama NSTP akan dipecat, pembuangan pekerja terbaru media berlaku tahun ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Disember, 2019.

MEDIA Prima Berhad akan menamatkan perkhidmatan 543 pekerja daripada Kumpulan NSTP bermula 12 Mac tahun depan.

Pengerusi Kesatuan Pekerja Wartawan (NUJ) NSTP Farah Marshita Abdul Patah dalam satu kenyataan berkata, pekerja itu adalah daripada akhbar New Straits Times, Berita Harian dan Harian Metro.

Pekerja yang terlibat dalam pembuangan itu akan mendapat surat pemberitahuan hari ini.

Daripada jumlah yang dibuang, 193 pekerja adalah ahli kesatuan sekerja.

Farah berkata NUJ berharap proses pemecatan akan berlaku dengan lancar dan pampasan yang dijanjikan akan dibayar mengikut undang-undang.

“NUJ NSTP juga berharap ini adalah pemberhentian terakhir yang akan dilakukan oleh syarikat dan tiada lagi ahli NUJ NSTP yang terpaksa berkorban dan perlu melalui detik perit yang sama,” katanya.

“Buat ahli yang akan pergi, NUJ NSTP mendoakan semoga mereka dilimpahkan rezeki dan diberikan kehidupan yang lebih baik di luar sana.

“Bagi kakitangan yang akan kekal, teruskan berkhidmat bersama syarikat, pesan NUJ NSTP, tingkatkan semangat untuk terus maju ke hadapan.”

Awal hari ini, beliau dilaporkan memberitahu Free Malaysia Today yang biro negeri seluruh negara akan dikecilkan jumlah pekerjanya daripada 14 kepada lima orang, dan biro negeri di Pantai Timur (Pahang, Kelantan dan Terengganu), utara (Pulau Pinang, Kedah, Ipoh dan Perlis) dan selatan (Johor, Negeri Sembilan dan Melaka) akan digabungkan.

Biro Shah Alam dan Putrajaya juga akan digabungkan, manakala Sabah dan Sarawak akan mempunyai hanya satu biro.

Semalam, Gerakan Media Merdeka (Geramm) mendesak supaya semua pekerja terlibat menerima pampasan sewajarnya.

Geramm berkata desakan itu dikeluarkan susulan aduan bahawa beberapa pihak dalam pengurusan syarikat menerima gaji lumayan sejak bertahun-tahun lamanya sehingga menjadi salah satu punca kegawatan kewangan syarikat. – 16 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen