Abang Johari kecam larangan halang wakil GPS masuk sekolah dan IPT


Desmond Davidson

Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg bercakap kepada pelajar Politeknik Metro Betong pagi tadi. – Gambar The Malaysian Insight, 15 Disember, 2019.

KETUA menteri Sarawak hari ini memberitahu pelajar Politeknik Metro Betong yang mereka boleh mendapatkan bas yang dimohon sekiranya berjaya memperolehi kebenaran bertulis menerima  pemberian kerajaan negeri dari institusi itu.

Abang Johari Openg berkata beliau mengenakan syarat itu kerana Kementerian Pendidikan mengeluarkan arahan melarang wakil pemerintah Gabungan Parti Sarawak (GPS) daripada melawat sekolah dan institut pendidikan di negeri itu.

“Kami boleh beri bas jika awak dapat kebenaran,” katanya kepada pelajar.

Beliau juga memberitahu pelajar yang kerajaan negeri bersedia membina penginapan sewa mampu milik di bandar yang terletak 250km dari Kuching untuk pelajar institusi itu.

Pelajar membuat permintaan itu kepada ketua menteri pada mesyuarat town hall Today for Tomorrow (T4T), pagi tadi.

Pelajar berkata, bas itu diperlukan untuk membantu pergerakan pelajar ke bandar lain seperti Kuching, Sibu dan Miri bagi tujuan pendidikan mereka.

“Saya sedia membantu. Kami mahu tolong tetapi makin susah untuk kerajaan negeri bantu sekolah dan institusi pendidikan lain kerana pekeliling itu,” katanya yang menambah beliau bersedia meluluskan bas 20 kerusi untuk pelajar berkenaan.

Beliau turut mengecam kerajaan persekutuan yang dakwanya mempolitikan pendidikan.

“Jika sekolah tak jemput kami, maka tiada sebab untuk kami masuk sekolah.”

Baru-baru ini, Menteri Pendidikan Sarawak Michael Manyin berkata Kementerian Pendidikan mengeluarkan dua pekeliling bahawa semua wakil rakyat GPS yang masuk masuk sekolah perlu mendapatkan kebenaran bertulis pengarah Jabatan Pendidikan Negeri.

Tambahnya, dalam banyak kes, kebenaran tidak diberikan. – 15 Disember, 2019.

Berita penuh di sini.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen