Penduduk Labis bimbang kesan projek landasan berkembar


Projek landasan berkembar antara Labis dan Paloh di Johor. Penduduk Labis tidak gembira dengan perubahan yang dibuat di kawasan mereka bagi menjayakan projek itu. – Gambar YouTube, 15 Disember, 2019.

PENDUDUK di Labis, Johor melihat projek kereta api landasan berkembar antara Gemas dan Johor Baru kini memberi kesan kepada mata pencarian mereka, lapor The Star.

Menyatakan kebimbangan terhadap faktor keselamatan, penduduk tempatan mendakwa projek mega RM12.4 bilion itu akan memutuskan hubungan mereka dengan kawasan sekitar bandar Labis.

Mereka berkata kerja meninggikan jejambat 500m sedia ada kepada 5m untuk menampung penambahan landasan akan menyebabkan pengguna jalan raya terpaksa membuat pusingan U sejauh hampir 2km untuk ke bandar.

Pengusaha tempatan, Tee Che En, 48, yang berniaga telefon di kawasan itu kecewa kerana majlis tempatan gagal menangani isu yang dibangkitkan.

“Jejambat ini sudah tinggi dengan pusingan yang tajam. Sekarang jika mereka menaikkan lagi 5m lagi, saya yakin lebih banyak kenderaan berat akan kemalangan apabila berdepan dengan pusingan tajam di sini.

“Terdapat banyak kemalangan yang membabitkan lori membawa balak dan barangan sepanjang laluan Labis-Yong Peng,” katanya.

Projek landasan berkembar Gemas-Johor Baru dijangka siap pada 2021.

Ia akan mempunyai 14 stesen di Tenang, Chamek, Senai, Segamat, Genuang, Labis, Bekok, Paloh, Kluang, Mengkibol, Renggam, Layang-Layang, Kulai dan Kempas Baru.

Azilla Putra dan suaminya Haziq Hamdan yang menjalankan kedai emas di kawasan itu juga bimbang tentang keselamatan di kawasan itu.

“Jalan raya baru ini akan memotong akses ke bandar Labis dan semasa kecemasan, polis akan mengambil masa lebih lama untuk sampai ke kedai kami,” katanya sambil menambah terdapat empat kedai emas di kawasan itu.

Walaupun tidak menentang projek itu, mereka berharap pihak berkuasa akan mempertimbangkan maklum balas mereka.

Azilla juga berharap pihak bertanggungjawab terhadap projek itu akan menjelaskan manfaat projek itu.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Negeri, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dr S Ramakrishnan berkata, Kementerian Pengangkutan menulis kepada kontraktor mengenai masalah dihadapi penduduk, tetapi masih belum mendapat jawapan.

“Kami bimbang dengan keselamatan pelajar di dua buah sekolah berhampiran kawasan di mana kerja itu akan dijalankan,” katanya sambil menambah sebuah masjid dan dewan komuniti turut terjejas.

Ramakrishnan berkata masalah itu dapat diselesaikan dengan mudah jika rangkaian jalan sedia ada dikekalkan, jalan raya diturunkan atau projek rel di kawasan itu dibina di atas tanah atau melalui jambatan. – 15 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen