EMIR Qatar dalam satu temubual bersama CBS semalam menuduh Arab Saudi dan negara-negara sekutu Arabnya cuba menggulingkan kerajaannya dengan mengenakan sekatan politik dan ekonomi hampir lima bulan ke atas negara Teluk kecil itu.
“Mereka mahukan perubahan rejim… Ia sangat ketara,” kata Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani.
“Sejarah juga memberitahu, mengajar kita yang mereka pernah cuba sebelum ini pada 1996 selepas bapa saya menjadi emir. Jadi, dalam beberapa minggu kebelakangan ini ia semakin jelas.
Pada 5 Jun, krisis Teluk meletus apabila Arab Saudi, Bahrain, Emiriyah Arab Bersatu dan Mesir memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar, mengenakan sekatan ekonomi kerana Qatar dikatakan menyokong keganasan dan menjadi rapat dengan Iran.
Riyadh dan negara-negara sekutunya menutup sempadan darat dan laut, menggantung laluan udara dan mengusir warga Qatar. Tuduhan itu dinafikan Doha.
“Mereka tak sukakan kemerdekaan kami, cara kami berfikir, wawasan kami untuk rantau ini,” kata Sheikh Tamim semalam.
“Kami mahukan kebebasan bersuara untuk rakyat di rantau ini. Dan mereka tidak suka, Mereka fikir ia satu ancaman buat mereka.” – AFP, 30 Oktober, 2017.
Komen