Kerja pembinaan jejambat Lebuh Raya Pan Borneo diarah henti serta-merta


Desmond Davidson

Kementerian Kerja Raya berkata satu siasatan menyeluruh akan dijalankan susulan sebahagian struktur jejambat Lebuh Raya Pan Borneo runtuh semalam. – Gambar Facebook, 14 Disember, 2019.

KEMENTERIAN Kerja Raya mengarahkan kerja-kerja pembinaan di jejambat Lebuh Raya Pan Borneo  di Pujut Miri dihentikan serta-merta susulan sebahagian struktur itu runtuh semalam sehingga menyebabkan dua pekerja cedera.

“Kami sudah mengarahkan kerja-kerja pembinaan dihentikan dan pegawai keselamatan juga diarahkan supaya menutup tapak pembinaan bagi mengelakkan kemalangan lain,” kata menterinya Baru Bian di Kuching hari ini.

Baru berlepas ke Miri untuk memeriksa kawasan kejadian selepas menghadiri majlis sambutan Krismas bagi penghuni Cheshire Home anjuran PKR Sarawak pagi tadi.

Baru berkata tindakan akan diambil jika hasil siasatan mendapati kemalangan tersebut berlaku akibat kecuaian.

“Saya ambil serius kejadian ini, terutama jangkaan terhadap tahap keselamatan yang tinggi di semua tapak pembinaan.”

Katanya, kontraktor seharusnya memastikan tahap keselamatan d tapak pembinaan memenuhi piawaian antarabangsa.

Dalam kejadian jam 2.40 petang semalam, lima rasuk jejambat yang sedang dalam pembinaan itu runtuh, menyebabkan dua pekerja cedera.

Dua pekerja itu sudah diberi rawatan dan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Jejambat tersebut adalah sebahagian daripada 11 pakej kontrak kerja (WPC) yang dianugerahkan kepada Konsortium KPE Sdn Bhd pada 25 Julai 2016.

Kontrak bernilai RM1.852 bilion itu dijadualkan siap tahun depan.

Baru juga berkata kejadian itu bukan sahaja akan menyebabkan kelewatan tetapi mungkin akan menyebabkan kos tambahan. – 14 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen