Perangi rasuah dengan naratif baharu


SELAMA ini kita sudah terbiasa dengan pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tentang rasuah dalam kalangan penjawat awam yang membabitkan pelbagai jenis suapan dan pemberian pakej seperti wang tunai, barangan elektrik dan perabot rumah.

Namun pendedahan terkini terdapat juga unsur rasuah dalam bentuk pemberian pakej menunaikan ibadah haji dan umrah cukup mengejutkan.

Kita sedia maklum rasuah adalah salah dan dilarang serta ditegah oleh semua agama. Jadi, agak terkejut apabila ada pula orang Islam yang sudahlah melanggar hukum agama dengan mengambil rasuah, boleh pula menerima pakej ibadah haji dan umrah sebagai rasuah.

Ini jelas satu perbuatan yang cukup keji dan tidak boleh dimaafkan sama sekali.

Tindakan sebegini bukan saja menggadaikan maruah diri dan keluarga tetapi lebih penting lagi menjejaskan nama baik dan mengaibkan kesucian agama Islam itu sendiri.

Ringkasnya perbuatan seperti ini boleh diumpamakan menggadai maruah dan nama baik agama Islam.

Bayangkan apa persepsi dan pandangan orang bukan Islam terhadap agama dan orang Islam?

Perbuatan menerima rasuah dalam kalangan orang Islam itu sendiri sudah cukup untuk menjejaskan nama baik Islam, dan sekarang ditambah pula dengan rasuah pekej seperti ini.

Ini jelas menunjukkan individu seperti ini sudah hilang pertimbangan dan kewarasan sehingga tidak mampu untuk menilai baik buruk serta apa natijahnya.

Tindakan umpama matlamat menghalalkan cara ini merosakkan nama baik Islam sama sekali.

Jadi kepada orang Islam terutamanya segelintir penjawat awam yang sudah terjebak dalam najis rasuah ini, jangalah kerana nafus serakah, kita mudah gelap mata, hilang pertimbangan sekali gus menjual atau menggadai agama sendiri.

Sampai bila kita mahu hidup dengan duit rasuah termasuk akan menjadi darah daging anak dan isteri.

Belajarlah hidup dengan pendapatan yang diterima, ukurlah baju di badan sendiri.

Jangan berangan-angan untuk hidup di luar kemampuan kita sehingga sanggup menggadai apa saja asalkan boleh memenuhi semua hajat dan nafsu.

Janganlah terlalu kemaruk sehingga sanggup menerima pakej menunaikan ibadah haji dan umrah sebagai rasuah.

Fikirkan sejenak, di mana keberkatan dalam menunaikan ibadah haji dan umrah yang diterima sebagai rasuah dan suapan seperti ini?  

Hentikanlah perbuatan menunggang agama seperti ini, kalau tidak membantu menjaga dan memelihara nama baik Islampun janganlah bersubahat merosakkannya seperti ini.

Ironinya masalah rasuah dalam kalangan anggota masyarakat semakin parah dan membimbangkan.

Justeru, usaha memerangi rasuah perlu dilakukan secara menyeluruh di semua peringkat.

Kita tidak menafikan penglibatan penjawat awam dalam salah laku seperti ini sentiasa menarik perhatian umum kerana membabitkan kepentingan awam.

Tetapi anggota masyarakat juga perlu sedar bukan semua penjawat awam sanggup menggadai prinsip, integriti dan jati diri dengan menerima rasuah.

Dan lebih penting lagi kenapa kita sering melupakan kelompok masyarakat yang memberikan suapan dan rasuah terbabit?

Lazimnya seluruh negara kecoh apabila ada penjawat awam ditangkap dan dibawa ke mahkamah atas tuduhan menerima rasuah.

Bagaimanapun, kita umpama tidak nampak tindakan terkutuk sebahagian daripada anggota masyarakat sendiri yang merosakkan penjawat awam dengan menggoda dan memberikan pelbagai ganjaran serta suapan termasuklah pakej menunaikan ibadah haji dan umrah.

Dalam konteks ini semua pihak perlu berlaku adil terhadap penjawat awam dan juga perkhidmatan awam secara keseluruhannya.

Jangan kita menggambarkan seolah-oleh hanya penjawat awam saja yang terima rasuah atau bersalah.

Rasuah dan penyelewengan berlaku dalam semua sektor di mana kita percaya rasuah dalam sektor swasta dan korporat juga tetap tinggi dan lebih penting lagi bagaimana pula dengan anggota masyarakat yang mendorong aktiviti rasuah ini berlaku dengan memulakan dan menawarkan suapan?

Jangan kita berat sebelah dalam menilai dan menjatuhkan hukuman.

Secara prinsipnya penjawat awam yang salah tetap salah, yang menerima rasuah kita minta diambil tindakan tegas dan jangan sesekali melindunginya. Tetapi besarlah juga harapan kita agar diambil tindakan tegas terhadap orang yang memberi rasuah.

Dalam konteks ini, perlu ada kajian dan penelitian yang serius dan terperinci terhadap sejauhmana tindakan ke atas pemberi rasuah selama ini memberikan hasil dan kesan yang positif?  

Jujurnya kita sangat menghargai segala usaha dan inisiatif SPRM yang begitu berdedikasi dalam menjalankan tugas mereka demi untuk menjaga dan memelihara nama baik perkhidmatan awam dengan membersihkan perkhidmatan awam dan penjawat awam dari rasuah dan penyelewengan.

Namun pada masa yang sama elok juga SPRM meneliti dan menilai semula usaha-usaha pencegahan dan penguatkuasaan terhadap anggota masyarakat yang memberikan rasuah.

Analogi mudah dalam konteks ini ialah, rasuah berlaku kerana adanya penawaran. Justeru kita perlu mencari jalan untuk menghentikan penawaran tersebut.

Untuk itu promosi dan kempen anti rasuah, kesedaran terhadap ancaman dan kesan rasuah serta penerapan budaya “katakan tidak kepada rasuah” dalam kalangan anggota masyarakat perlu dilipatgandakan lagi di samping terus tangkap dan mendakwa orang yang memberikan rasuah.

Ayuh, sudah tiba masanya untuk kita mencorak naratif baru dalam pendekatan memerangi rasuah secara keseluruhannya.

Semoga impian menjadi negara sifar rasuah akan menjadi kenyataan satu hari kelak. – 14 Disember, 2019.

* Noor Mohamad Shakil Hameed adalah timbalan pengarah Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen