Taliban bunuh 22 anggota polis dalam serangan berasingan


Anggota pasukan keselamatan Afghanistan mempertingkatkan rondaan bagi mengekang serangan pemberontak Taliban. – Gambar EPA, 29 Oktober, 2017.

PEMBERONTAK Taliban membunuh 22 anggota polis Afghanistan dalam serangan berasingan di pusat pemeriksaan pada hujung minggu lalu dalam serangan terbaharu ke atas pasukan keselamatan di negara bergolak itu.

Militan terbabit yang memakai gogel penglihatan malam, melancarkan serangan pada waktu subuh di pos kawalan Khan Abad, utara wilayah Kunduz pada Ahad menyebabkan 13 anggota polis terbunuh, kata ketua polis daerah terbabit Abdul Hamid Hamidi.

Salah seorang anggota polis terselamat dalam serangan itu, katanya kepada pemberita.

Penyerang bertindak memusnahkan pos kawalan selain mencuri kenderaan Humvee, menurut gabenor daerah, Hayatullah Amiri.

Pada Sabtu, pejuang Taliban membunuh sembilan anggota polis dan mencederakan dua yang lain di pos kawalan di Ghazni, ibu negeri wilayah tenggara Kunduz, kata gabenor wilayah Mohammad Arif Noori.

12 anggota militan terbabit turut terbunuh manakala empat lagi cedera, kata Noori.

Taliban mengaku bertanggungjawab dalam satu kenyataan kepada media.

Pemberontak terbabit mempertingkatkan serangan ke atas kawasan keselamatan dalam cubaan mereka untuk melemahkan pasukan polis dan tentera serta mencuri peralatan mereka untuk memperkukuhkan pemberontakan.

Kumpulan militan itu sebelum ini memiliki berdozen kenderaan berperisan Humvee dan trak pikap, kata jurucakap timbalan menteri pertahanan Mohammad Radmanesh kepada ADP baru-baru ini.

Sebahagian daripada kenderaan yang dicuri itu digunakan untuk melancarkan serangan bunuh diri  ke atas polis dan tentera serta pangkalan tentera dengan kesan yang dahsyat.

Afghanistan berdepan pelbagai kesukaran selepas pasukan Nato menamatkan misi mereka pada akhir 2014.  – AFP, 29 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen