Rafizi kekal bebas kes dedah maklumat sulit NFC


Naib Presiden PKR Rafizi Ramli kekal bebas daripada pertuduhan mendedahkan butiran sulit perbankan berkaitan dengan NFC selepas pendakwa raya menarik balik rayuan terhadap pembebasannya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Disember, 2019.

NAIB Presiden PKR Rafizi Ramli kekal bebas daripada pertuduhan mendedahkan butiran sulit perbankan berkaitan dengan Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) selepas pendakwa raya menarik balik rayuan terhadap pembebasannya.

Timbalan Pendakwa Raya Jasmee Hameeza Jaafar memaklumkan panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Hakim Yaacob Md Sam bahawa pihak pendakwaan juga menarik balik rayuan terhadap pembebasan bekas kerani bank, Johari Mohamad daripada pertuduhan bersubahat dengan Rafizi.

Beliau berkata pihak pendakwaan memfailkan notis penarikan balik rayuan pada 9 Disember lepas.

“Oleh itu pihak pendakwaan menarik balik kedua-dua rayuan,” katanya dan mahkamah membatalkan rayuan tersebut.

“Perintah lepas dan bebas yang diputuskan Mahkamah Tinggi dikekalkan,” kata Hakim Yaacob yang bersidang bersama-sama Hakim P. Ravinthran dan Hakim Abu Bakar Jais.

Peguam Ahmad Nizam Hamid yang mewakili Rafizi mengucapkan terima kasih kepada pihak pendakwaan.

Rafizi, 43, dan Johari, 49,  yang diwakili peguam Shahid Adli Kamarudin hadir di mahkamah.

Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 15 November lepas melepaskan dan membebaskan Rafizi dan Johari daripada pertuduhan mengikut Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (BAFIA), selepas membenarkan rayuan mereka untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 30 bulan dikenakan terhadap mereka.

Pada 7 Februari, 2018, Mahkamah Sesyen Shah Alam mendapati Rafizi bersalah atas pertuduhan mendedahkan dokumen penyata baki akaun bank milik National Feedlot Corporation (NFC), National Meat & Livestock Sdn Bhd, Agroscience Industries Sdn Bhd dan akaun bank Pengerusi NFC Dr Mohamad Salleh Ismail kepada perunding media, Yusof Abdul Alim dan pemberita akhbar The Star,  Erle Martin Carvalho.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Ibu Pejabat PKR di Merchant Square, Jalan Tropicana Selatan, Petaling Jaya, pada 7 Mac 2012.

Rafizi dituduh mengikut Seksyen 97(1) BAFIA yang boleh dihukum mengikut Seksyen 103(1)(a) akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM3 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Turut disabitkan kesalahan Johari yang didakwa mengikut Seksyen 112(1)(c) BAFIA, kerana bersubahat dengan Rafizi pada tarikh dan alamat yang sama. – Bernama, 13 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen