Jeti tukar barang di Batu Pahat uzur dan berbahaya, kata peniaga


Mohd Farhan Darwis

Jeti berhampiran pasar borong Batu Pahat mengendalikan sekurang-kurangnya 500,000 biji kelapa sehari dari Indonesia, yang menampung keperluan bekalan tempatan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 13 Disember, 2019.

SEJAK lebih empat dekad lalu, sebuah jeti di tebing Sungai Batu Pahat menjadi pintu keluar masuk hasil perdagangan antara daerah di sekitar barat Johor dengan pulau-pulau di Indonesia.

Setiap hari selama bertahun-tahun, bot dan tongkang datang ke jeti itu dari Kepulauan Riau di Sumatera membawa kayu bakau dan jati, atap nipah, ikan terubuk, tikar mengkuang, gambir dan arang.

Bot dan tongkang itu pulang membawa pelbagai barangan dari daerah di sekitar Batu Pahat, antaranya batu dan pasir, yang tidak diperoleh secara jual beli menggunakan wang sebaliknya dengan kaedah tukar barang, dari dulu sampai sekarang.

Hari ini, jeti dekat pasar borong Batu Pahat itu mengendalikan sekurang-kurangnya 500,000 biji kelapa sehari dari Indonesia, yang menampung keperluan bekalan tempatan.

Malaysia kini mengimport sekurang-kurangnya 100 juta biji kelapa dari Indonesia setiap tahun untuk keperluan sektor perkilangan dan musim perayaan, lapor media memetik data Kementerian Pertanian dan Asas Tani. Import kelapa memerlukan permit dan dikendalikan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Namun keadaan pelabuhan kecil itu – atau dipanggil betau oleh penduduk tempatan – dari hari ke hari semakin daif dan uzur, yang boleh mendatangkan bahaya dan mengancam pekerjanya.

The Malaysian Insight dimaklumkan oleh sumber di pelabuhan, operasi keluar masuk barangan di jeti itu seperti tidak dipantau dan tidak selamat.

Semasa tinjauan di jeti pendaratan tukar barang itu baru-baru ini, The Malaysian Insight melihat operasi mengangkut turun kelapa dari tongkang yang dilakukan tanpa sebarang peralatan keselamatan yang sesuai.

“Kita mahukan pemantauan yang lebih ketat. Kita mahu faktor keselamatan dititik berat,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.

“Ini kita boleh lihat kren berderet di tepi sungai, mengangkat kelapa dari tongkang terus masuk ke dalam lori yang menunggu di tepi jalan, macam mana boleh kerja dengan selamat macam itu,” tambahnya.

Tongkang dari Indonesia yang membawa ribuan biji kelapa tua berlabuh di tebing sungai yang dipasak batang kelapa dan tayar terpakai, untuk mengelak tebing runtuh.

Penduduk tempatan mahukan jeti diuruskan dengan lebih sistematik supaya tiada kapal yang berlabuh secara haram. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 13 Disember, 2019.

The Malaysian Insight difahamkan jeti pendaratan itu dibangun dan diurus atas inisiatif pihak swasta dan tidak melibatkan kerajaan, kecuali pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang ditempatkan di lokasi berdekatan.

“Kalau kerajaan buat takkan macam itu rupa dia. Pelabuhan ini seingat saya tidak pernah berubah sejak saya kecil, sampai sekarang.

“Operasinya masih sama, jadi agak berbahaya untuk mereka yang bekerja di sini,” katanya, yang kini berusia lewat 50-an.

Sumber percaya kerajaan boleh meningkatkan kutipan cukai di jeti itu kalau kemudahannya ditingkatkan dan operasinya diatur dengan lebih tersusun di samping pemantauan yang ketat.

“Sepatutnya perlu diuruskan dengan lebih sistematik, jadi kerajaan juga mampu mengutip hasil pendapatan yang lebih baik.

“Sehingga ke hari ini tiada inisiatif agensi kerajaan untuk mengurus dan mentadbir pelabuhan itu sedangkan itu pintu keluar masuk, kutipan cukai pun kita tak tahu,” katanya.

Pada masa ini, pihak berkuasa mengutip hasil daripada operasi jeti melalui lesen pendaratan sementara (LPS) yang perlu diperbaharui setiap tahun serta cukai tanah bagi lesen pendudukan sementara (TOL).

“Di tempat naik kelapa itu memang ada Kastam, tapi betau swasta ini diuruskan pihak individu dan tidak melibatkan kerajaan kecuali LPS yang diperbaharui setiap tahun, dan cukai tanah TOL,” katanya.

Sumber lain berkata, kastam juga mempunyai pelabuhan sendiri namun kedudukannya terletak jauh dari sungai.

“Ada pemantauan daripada pihak berkuasa tapi terlalu longgar sebab pelabuhan Kastam terletak 5 batu ke darat, jauh ke dalam.

“Untuk sampai ke sana macam-macam benda boleh berlaku, misalnya, sementara tongkang masuk, barang boleh dibuang ke laut dan kemudiannya akan ada sampan kecil kutip,” katanya.

Memburukkan keadaan, tanpa pengawasan rapi, pelabuhan itu juga dikhuatiri menjadi pintu menyeludup masuk pendatang asing tanpa izin ke dalam negara.

“Kalau kata bawa orang (pendatang asing tanpa izin) pun mungkin boleh lepas,” kata seorang sumber lagi.

“Kapal yang keluar masuk kita tak tahu, rekod mungkin ada pada Kastam kerana itu barang bercukai, berapa syarikat isytihar itulah yang mereka terima.

“Sebab itu kita mahu pelabuhan barter trade yang dikawal oleh kerajaan,” kata sumber itu lagi.

Pelabuhan tukar barang di Batu Pahat menjadi tumpuan peniaga dari Kepulauan Riau kerana kedudukannya lebih hampir dengan Johor berbanding pusat perdagangan republik itu seperti Jakarta dan Bandung.

Tongkang dan kapal yang belayar dari kepulauan Riau mengambil masa antara 7 hingga 10 jam untuk tiba ke pelabuhan barter trade Batu Pahat.

Selain jeti tukar barang dekat pasar borong Batu Pahat, The Malaysian Insight juga ditunjukkan oleh sumber deretan kapal dari Indonesia yang didakwa berlabuh secara haram.

“Jabatan Laut ada menetapkan spesifikasi bagi kadar bayaran kapal yang berlabuh, ikut saiz dan berat kapal.

“Tapi kapal yang berlabuh di sini membayar ikut kadar yang ditetapkan pemilik tanah persendirian, ikut suka hati mereka.

“Jadinya, bersusun kapal berlabuh secara haram di sini,” kata sumber.

Selain Batu Pahat, pelabuhan tukar barang juga ada di Pelabuhan Klang dan Melaka.

Kerajaan Melaka pada Mei lalu mengumumkan mahu menaik taraf pelabuhan tukar barang di Alor Gajah menjadi Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi. Projeknya dimulakan pada September lalu.

Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan, Industri Asas Tani dan Koperasi Melaka, Norhizam Hassan Baktee dilaporkan berkata kerajaan negeri mahu pelabuhan itu menjadi hab perdagangan serantau, menggantikan jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) yang menjadi pelabuhan tukar barang selama ini. – 13 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen