PASUKAN tentera elit New Zealand membawa keluar enam mayat dari White Island hari ini, ketika pulau itu masih dalam keadaan amat tidak stabil, kata polis.
Dua helikopter tentera berlepas dari lapangan terbang Whakatane pada awal pagi tadi ke pulau di mana berlaku letusan gunung berapi yang dipercayai menyebabkan sekurang-kurangnya 16 orang maut.
Pasukan terdiri daripada lapan anggota tentera elit itu dihantar untuk membawa keluar lapan mayat dari White Island. Selepas lebih lima jam, polis berkata kebanyakan mayat berjaya dikeluarkan.
“Enam mayat berjaya dikeluarkan dari Whakaari-White Island dan kini berada di atas kapal HMNZS Wellington,” kata Timbalan Pesuruhjaya Polis John Tims.
Bagaimanapun, tidak pasti sama ada pasukan tentera akan kembali semula untuk mengeluarkan mayat yang dipercayai masih berada di pulau White Island.
Lokasi enam mayat yang dikeluarkan dikenal pasti melalui dron yang diterbangkan sebelum operasi bermula. – AFP, 13 Disember, 2019.
Komen