BALU kepada N Dharmendran mahu tahu apa jadi kepada empat anggota polis yang diputuskan minggu ini oleh mahkamah sivil bertanggungjawab mengakibatkan kematian suaminya semasa dalam tahanan di lokap polis enam tahun lepas.
Dua hari selepas menang kes saman sivil terhadap Polis Di-Raja Malaysia dan kerajaan persekutuan, Marry Mariay Susay, 32, berkata ganti rugi yang diputuskan oleh mahkamah itu tidak memadai selepas beliau kehilangan suami buat selama-lama.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu memerintahkan kerajaan Malaysia membayar ganti rugi keseluruhan RM440,200 serta kos RM50,000 kepada Marry.
“Saya memang gembira menang kes ganti rugi ini… untuk masa depan anak saya,” katanya, merujuk kepada anak lelakinya D Santosh.
Anak itu berumur dua tahun semasa ayahnya meninggal dunia dalam tahanan polis.
“Tetapi, kalau empat polis yang mengakibatkan kematiannya itu dihukum setimpal dengan kesalahan mereka, baru saya akan puas hati.
“Itu baru satu keadilan untuk kematian suami saya,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Dharmendran ditemui mati di ibu pejabat kontinjen polis Kuala Lumpur pada 21 Mei 2013, selepas ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes cubaan bunuh dengan senjata api.
Dalam keputusannya Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim memutuskan pihak polis dengan sengaja telah menyerang dan memukul Dharmendran semasa dalam tahanan sehingga membawa maut.
“Jika saya boleh menang dalam kes ganti rugi, kenapa empat polis itu masih tidak boleh didakwa. Buktinya sama dalam kedua-dua kes.
“Sekiranya suami saya meninggal akibat dihukum gantung selepas dibuktikan bersalah dalam mahkamah, saya boleh terima kematian itu, tetapi dia belum didakwa pun.
“Dia mati akibat kecuaian dan kekasaran yang digunakan dalam proses soal siasat polis, jadi mereka perlu bertanggungjawab,” katanya.
Seorang pegawai dan tiga anggota polis – S Hare Krishnan, Jaffri Jaffar, Mohd Nahar Abd Rahman dan Mohd Haswadi Zamri Shaari – didakwa di mahkamah pada Jun 2013 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagaimanapun membebaskan mereka tanpa dipanggil membela diri, yang akhirnya dipertahankan oleh Mahkamah Persekutuan pada Oktober tahun lalu.
Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan yang menyiasat kematian Dharmendran bagaimanapun memutuskan beliau meninggal dunia akibat penggunaan kekerasan fizikal oleh polis.
Selain kesal tiada keadilan untuk kematian suaminya, Marry kesal juga kerana selepas kes Dharmendran masih ada lagi kes sama yang berlaku – namun merasakan tiada juga tindakan ke atas polis yang terlibat.
“Saya harap kerajaan akan buat sesuatu dalam isu seperti ini.
“Tangkap, siasat dan dakwa di mahkamah jika ada bukti.
“Jangan bunuh mereka (tahanan) seperti ini,” katanya.
Pada Rabu lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan saman Marry terhadap 11 defendan, termasuk empat pegawai dan anggota yang pernah didakwa di mahkamah atas tuduhan bunuh.
Marrry memfailkan saman itu pada 20 Mei 2016 selepas keputusan akhir Mahkamah Persekutuan dalam kes jenayah itu. – 13 Disember, 2019.
Komen