Kerani rugi RM448,000 ditipu Macau Scam


WANG sebanyak RM488,000 bukanlah jumlah yang biasa untuk disimpan majoriti rakyat Malaysia tapi itulah jumlah yang hilang dalam sekelip mata dari akaun bank seorang kerani yang menjadi mangsa penipuan dalam talian atau Macau Scam di Miri baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sarawak, Supt Mustafa Kamal Gani Abdullah hari ini berkata kerani berumur 58 tahun itu kehilangan wang berkenaan selepas dia diancam melalui panggilan telefon yang mengatakan dia kononnya terlibat dengan kegiatan pengubahan wang haram.

Beliau berkata kerani itu mula menerima panggilan telefon pada 17 November daripada seorang individu yang mengaku sebagai Sarjan Yap Chee Hong, yang menuduh dia mempunyai dua kes mahkamah, iaitu nombor telefonnya digunakan untuk penipuan dan akaun banknya digunakan untuk pengubahan wang haram,” katanya di Kuching.

“Takut dengan dakwaan itu, kerani berkenaan akur dengan arahan individu itu untuk mendedahkan butir-butir peribadi dan kata laluan akaun bank dalam taliannya, dengan harapan dapat dilepaskan dari dakwaan berkenaan.

“Hanya pada 11 Disember (semalam) dia menyedari dirinya ditipu apabila mendapati wang di akaunnya hanya tinggal RM2,000 lebih sahaja,” katanya, sambil menambah polis telah memulakan siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana penipuan.

Mustafa turut menasihati mereka yang menerima panggilan telefon seperti ini agar tidak mengikut arahan pemanggil yang meminta maklumat peribadi dan kewangan mereka kerana mana-mana pihak berkuasa tidak akan menggunakan panggilan telefon untuk mendapatkan maklumat sedemikian.– Bernama, 12 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen