Putrajaya teruskan saman terhadap Goldman Sachs, kata Guan Eng


Noel Achariam

Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada sidang media di Putrajaya hari ini berkata kerajaan akan meneruskan saman terhadap Goldman Sachs berkaitan skandal 1MDB. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 12 Disember, 2019.

PUTRAJAYA akan meneruskan tindakan undang-undang terhadap Goldman Sachs walaupun laporan mengatakan entiti kewangan itu mahu menyelesaikan kes berkenaan dengan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ), kata Lim Guan Eng.

Menteri kewangan berkata kerajaan tidak tahu mengenai laporan persetujuan penyelesaian itu kerana tidak mempunyai maklumat berkenaan perkara itu.

“Bagi kerajaan, kami akan tetap meneruskan dengan pertuduhan jenayah terhadap Goldman Sachs.

“Saya dimaklumkan oleh peguam negara bahawa kes ini akan dimulakan pertengahan tahun depan,” katanya di Kementerian Kewangan di Putrajaya hari ini.

Bloomberg melaporkan Goldman Sachs, bank utama dalam skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) mungkin membayar kurang AS$2 bilion (RM8.4 bilion) dalam sebahagian persetujuan penyelesaiannya dengan DoJ.

Semalam, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata pihaknya berharap penyelesaian luar mahkamah dengan Goldman Sachs berhubung pembabitannya dalam skandal 1MDB, menurut laporan Reuters.

“Kami kalau boleh lebih memilih untuk mengelak pergi ke mahkamah, dan jika mereka cadangkan jumlah yang munasabah, saya fikir kami akan bersetuju,” kata Dr Mahathir dalam satu temu bual dengan agensi itu.

Dr Mahathir sebelum ini menolak tawaran ganti rugi bagi apa yang beliau katakan AS$1 bilion (RM4.2 bilion) terlalu rendah, memandangkan Putrajaya menuntut AS$7.5 bilion dari bank itu. – 12 Disember, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen