Ramai sanggup undi calon bebas pada PRU15, kata kaji selidik


Chan Kok Leong

Lebih 17% rakyat Malaysia berkata mereka akan mengundi calon bebas pada PRU15, kata badan pemikir Emir Research menerusi satu kaji selidik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Disember, 2019.

LEBIH 17% rakyat Malaysia berkata mereka akan mengundi calon bebas pada pilihan raya umum akan datang, kata badan pemikir Emir Research menerusi satu kaji selidik.

Kaji selidik itu juga mendapati kecenderungan untuk mengundi kuasa ketiga lebih tinggi dalam kalangan pengundi muda berbanding pengundi lebih tua.

Bagi mereka yang berumur 31 ke bawah, 19% berkata mereka akan mengundi parti bebas, berbanding 16% bagi kumpulan umur 31-40 tahun dan 41-50 tahun. Dalam kalangan responden berusia 51 tahun ke atas, 17% berkata akan mengundi calon bebas.

Melihat kepada kaum, lebih ramai India (25%) dan Cina (24%) berkata mereka akan mengundi calon bebas berbanding responden Melayu (14%).

Ini kali pertama calon bebas mendapat ranking tinggi daripada responden dalam kaji selidik yang dibuat selepas PRU14 tahun lalu.

Emir Research mendedahkan hasil kaji selidik itu dalam laporannya bertajuk “Dari Akar Umbi: Suara dan Harapan Rakyat berkenaan Isu Sosioekonomi” yang dikeluarkan hari ini.

Kaji selidik Emir Research membabitkan 1,992 v pengundi dan dijalankan di 222 kawasan Parlimen dengan margin kesilapan dianggarkan kira-kira 3%. Kaji selidik itu dijalankan dari 5 September hingga 10 Oktober.

Ini pendedahan kedua Emir Research selepas ia mengeluarkan hasil kaji selidik bahawa hanya 24% rakyat Malaysia berpendapat kerajaan Pakatan Harapan (PH) berdaya maju.

Lebih satu pertiga daripada yang dikaji selidik (41%) berkata mereka akan masih mengundi PH jika PRU15 diadakan dalam tempoh terdekat.

Tetapi dalam kaji selidik itu, mereka yang mengundi Umno-PAS ialah 38%.

“Berdasarkan kepada margin anggaran dengan kesilapan 3%, pertandingan dalam pilihan raya itu boleh digambarkan sebagai sangat sengit,” kata Emir Research. – 12 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen