DI bawah terik matahari dan siang panas di dataran lumpur paya bakau di Kampung Daeng Machining, di Batu Pahat, Johor, Salbiah Atir, 68, terbongkok-bongkok mengais lumpur mencari siput berungun.
Dia meranduk lumpur berpindah kawasan sambil terhincut-hincut. Kakinya cedera kerana kemalangan motosikal sehari sebelumnya. Walaupun lututnya masih berbalut, tubuh tua itu menggagahkan juga kudrat demi sesuap nasi.
“Semalam tak makan, tak dapat cari siput sebab kemalangan motosikal. Hari ini paksa juga cari siput, ada pelanggan nak siput. Sekilogram harganya RM20, lepaslah duit makan saya,” katanya, ketika ditemui The Malaysian Insight, baru-baru ini.
Tempat Salbiah mencari siput itu pada suatu ketika hanya beberapa tahun lalu adalah kawasan rumah orang, tempat penduduk kampung bertani menanam kelapa dan kelapa sawit.
Di kawasan itu masih boleh dilihat rangka tinggalan rumah kayu dan telaga batu – bukti bahawa kawasan itu pernah jadi tapak rumah.
Di dataran lumpur itu juga boleh dilihat tunggul pokok kelapa dan kelapa sawit tersusun dalam barisan antara benih bakau yang kini bercambah.
Ketua Kampung Sungai Bagan Laut, Zakir Othman, 46, berkata selepas benteng pemisah antara darat dan laut pecah, tanah mereka tidak lagi sesuai digunakan untuk bertani kerana dimasuki air masin apabila ombak besar.
“Lebih 10 tahun dah macam ini, tanah orang kampung semua habis jadi laut… tiada pilihan, mereka semua keluar tinggalkan tanah masing-masing.
“Bila tanah bercampur air masin, tanaman semua mati. Tiada tanaman yang sesuai kecuali pokok bakau,” katanya, ketika ditemui The Malaysian Insight.

Ketua Kampung Sungai Kluang Tengah, Ahmad Saat, 56, pula menganggarkan kawasan tanah pesisir paya bakau yang ditinggalkan berkeluasan antara 300 hingga 400 ekar.
“Tanah ini semuanya masih bergeran, ada pemilik tanah, cukai tanah masih dibayar, tapi tidak boleh mengeluarkan hasil,” katanya.
Tinjauan The Malaysian Insight mendapati kawasan tanah kampung petempatan penduduk yang berubah menjadi hutan paya bakau itu kini menjadi kediaman binatang liar seperti monyet dan ular bakau.
Kerajaan Johor sedar masalah itu. Menteri Besar Johor Dr Sahruddin Jamal dalam pembentangan Belanjawan 2020 negeri bulan lalu turut memperuntukkan sejumlah RM45 juta bagi projek meninggikan benteng pantai untuk daerah Batu Pahat dan Pontian.
Namun, penduduk mengharapkan kerajaan dapat membina benteng pemecah ombak di tengah laut, kerana benteng pantai tidak mampu menahan limpahan air laut ketika ombak besar.
“Kita mengharapkan ada satu benteng pemecah ombak, jadi bila ombak besar, benteng itu dapat menahan kemaraan air laut, jadi benteng pantai tidak akan terhakis,” kata Ahmad.

Benteng pantai yang dibina sejak sekian lama juga katanya kerap musnah, lebih-lebih lagi sewaktu monsun melanda.
Keadaan itu katanya, memaksa kerajaan mengeluarkan perbelanjaan membaiki benteng pantai yang pecah
Ahmad juga menganggarkan kira-kira 20 keluarga terjejas punca pendapatan mereka disebabkan fenomena itu.
Sebahagian mereka juga katanya terpaksa menyewa dan keluar bagi mencari sumber pendapatan di kawasan lain kerana tanah milik mereka seakan padang jarak padang tekukur.
Bagi Mohd Zaini Palidin, 48, tanahnya yang berkeluasan empat ekar yang dahulunya dipenuhi pokok kelapa sudah ditinggalkan disebabkan fenomena itu.
Malah, tanah yang terletak di kawasan Sungai Tongkang yang merupakan sumber pendapatan utama keluarganya kini dipenuhi hutan bakau.
Namun begitu, kayu bakau yang tumbuh pula tidak boleh ditebang kerana tertakluk sebagai tumbuhan yang dilindungi.
“Dulu tanah itu menjadi hasil utama, tapi sekarang dah tinggal, saya kena cari sumber lain sebab tanah itu dah tidak boleh digunakan.
“Pokok bakau banyak tapi tak boleh jadi hasil, sebab pokok yang dilindungi, sedangkan tanah itu ada geran dan cukai sampai hari ini saya masih bayar,” katanya, yang juga Ketua Kampung Sungai Dulang.
“Kebun itu sudah tidak boleh diselamatkan lagi, ia seperti menjadi keadaan asalnya, hutan paya bakau,” kata Zaini.
Sehingga pihak berwajib menemui penyelesaiannya, dataran lumpur itu akan terus menjadi lokasi tumpuan penduduk tempatan seperti Salbiah untuk mencari siput dan lokan demi sesuap nasi. – 12 Disember, 2019.
Komen