3 ditahan terlibat cubaan seludup ke luar negara


TIGA lelaki warga Indonesia ditahan awal pagi ini kerana dipercayai terlibat dalam cubaan menyeludup keluar dari negara ini secara haram, dekat Kota Tinggi, awal pagi, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Ahsmon Bajah berkata sepasukan pegawai serta anggota dari Balai Polis Bayu Damai di Kota Tinggi, telah membuat serbuan di sebuah rumah di Jalan Teluk Ramunia pada pukul 2.00 pagi.

“Dalam serbuan itu, tiga lelaki warganegara Indonesia berusia dalam lingkungan 23-28 tahun telah ditahan. Pihak kami turut merampas beberapa buah telefon bimbit pelbagai jenama, wang tunai pelbagai mata wang dan beg pakaian yang dipercayai milik suspek,” katanya dalam satu kenyataan di Kota Tinggi, hari ini.

Hasil siasatan awal mendapati kesemua yang ditahan itu dalam proses untuk keluar dari Malaysia menggunakan jalan yang tidak diwartakan sebagai pintu masuk dan keluar negara yang sah.

Menurut Ahsmon, salah seorang suspek dipercayai bertindak sebagai tekong manakala dua yang lain adalah pendatang asing yang ingin keluar dari negara ini.

Tekong berkenaan juga dipercayai mengenakan bayaran RM3,000 setiap seorang untuk proses membawa keluar imigran berkenaan.

Ashmon berkata, tekong itu disiasat di bawah Seksyen 26A Atipsom 2007 jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi lima belas tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, kedua-dua imigran berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang mana jika disabit kesalahan mereka boleh dihukum penjara lima tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Lelaki bertindak sebagai tekong itu kini ditahan reman di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) selama 28 hari bermula 11 Disember, 2019 hingga 7 Januari, 2020 manakala kedua-dua imigran itu ditahan reman di bawah Akta Imigresen 1959/63 selama 14 hari bermula 11 Disember, 2019 hingga 24 Disember, 2019. – Bernama, 11 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen