Polis pergiat jejak 8 suspek disyaki terlibat serangan Selatan Thailand


POLIS Thailand mempergiatkan usaha untuk mengesan dan menjejaki lapan lagi suspek yang masih bebas dipercayai terlibat dalam serangan di pos kawalan keselamatan di Yala, Selatan Thailand pada bulan lepas.

Ketua Polis Wilayah Yala, Mej Jen Pol Prabpal Meemongkol berkata setakat ini polis telah menahan 11 individu untuk membantu siasatan serangan di pos kawalan keselamatan di Kampung Lam Phaya pada 5 November lepas.

“Polis percaya kesemua suspek masih berada dalam kawasan selatan Thailand,” katanya kepada pemberita di Pattani hari ini.

Beliau berkata dua suspek seorang lelaki berusia  28 tahun dari Songkhla dan seorang lagi lelaki berumur 40 tahun dari Pattani merupakan dalang yang memimpin dan merancang dalam serangan maut dalam insiden berbalas tembakan di Pattani pada 21 November lepas.

Pada 5 November lalu, sekumpulan individu bersenjata telah menyerang pos kawalan keselamatan di Kampung Lam Phaya di Wilayah Yala, membunuh 15 orang, termasuk sukarelawan pertahanan kampung dan anggota polis serta mencederakan lima yang lain.– Bernama, 11 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen