Alberto Fernandez angkat sumpah presiden baharu Argentina 


Alberto Fernandez berkata langkah pertama pentadbirannya ialah melancarkan Pelan Komprehensif Argentina bagi Mencegah Kebuluran.– Gambar EPA, 11 Disember, 2019.

ALBERTO Fernandez, dari gabungan Barisan Semua Orang, mengangkat sumpah sebagai Presiden Argentina pada Selasa dalam satu upacara yang berlangsung di Kongres Nasional, lapor agensi berita China Xinhua.

Dalam ucapan sulung beliau sebagai presiden, Fernandez menyeru ke arah perpaduan bagi membantu mengeluarkan negara itu daripada krisis ekonomi yang sukar diselesaikan dan pada masa sama, memenuhi keperluan golongan kurang bernasib baik.

Fernandez, 60, mengambil alih jawatan itu daripada pendahulunya, Mauricio Macri.

Sebagai ekonomi ketiga terbesar di Amerika Latin selepas Brazil dan Mexico, negara itu kini dipengaruhi krisis kewangan yang membawa kepada jumlah pinjaman paling tinggi pernah diberikan iaitu hampir 60 bilion dolar daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Menurut IMF, Argentina dijangka mengakhiri 2019 dengan penguncupan lebih 3 peratus dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Selain itu, inflasi terkumpul antara Januari dan Oktober meningkat kepada 42.2 peratus, pengangguran sebanyak 10.6 peratus dan kadar kemiskinan ialah 35.4 peratus.

Fernandez berkata langkah pertama pentadbirannya ialah melancarkan Pelan Komprehensif Argentina bagi Mencegah Kebuluran.

Fernandez membayangkan bahawa kerajaannya bercadang merundingkan semula syarat-syarat pinjaman IMF bagi memulihkan ekonomi.

Kerajaan yang bakal dibentuk akan berusaha mengurangkan beban hutang dan meneruskan pembangunan ekonomi produktif yang akan membolehkan Argentina mengeksport dan dengan itu, mewujudkan kapasiti untuk membayar, kata Fernandez.– Bernama, 11 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen