DUA maut sementara dua lagi cedera parah apabila kereta yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Jeniang, Sik, tengah hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata pemandu dan penumpang hadapan kereta jenis Proton Iswara itu meninggal dunia di tempat kejadian.
“Kami menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.27 tengah hari dan tiba di tempat kejadian 10 minit kemudian. Kereta jenis Proton Iswara yang dinaiki mangsa telah bertembung dengan sebuah lori dan menyebabkan pemandu wanita dan penumpang lelaki tersepit di dalam kereta.
“Kedua-dua mangsa telah disahkan meninggal dunia manakala dua lagi penumpang iaitu wanita dan seorang kanak-kanak perempuan yang cedera parah telah dibawa ke Hospital Sik untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di Alor Setar, hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sik DSP Abdul Razak Osman yang mengesahkan kejadian berkata mangsa yang maut ialah pemandu kereta itu iaitu seorang wanita berusia 48 tahun dan penumpang hadapan, seorang lelaki berusia 51 tahun.
“Maklumat mengenai dua mangsa yang cedera parah masih belum diperoleh dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya ketika dihubungi.– Bernama, 11 Disember, 2019.
Komen