PEMUDA PKR semalam membuat dua laporan polis berhubung penularan tangkap skrin, mesej dalam aplikasi kumpulan WhatsApp, yang didakwa adanya perancangan kekecohan pada Kongres Nasional AMK 2019, di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), 6 Disember lepas.
Setiausaha Pemuda Ahmad Syukri Che Ab Razab berkata dua laporan itu dibuat wakil Pemuda Melaka dan Terengganu di Balai Polis Batu Berendam di Melaka, bagi menggesa pihak berkuasa mengesan dalang di sebalik perancangan itu, sama ada ia mempunyai hubung kait dengan insiden rusuhan yang berlaku.
“Screenshot itu jelas seperti merancang sesuatu berdasarkan mesej, perkara ini juga kita akan bawa ke Lembaga Displin PKR, untuk menyiasat kerana sikap tidak bertanggungjawab ini juga mencemarkan nama keseluruhan parti.
“Kita serahkan laporan dan tunggu siasatan polis, mudah-mudahan segala punca yang menjadi kekalutan ini dapat dirungkai, dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media selepas memberi keterangan lebih dua jam di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, semalam.
Ahmad Syukri yang juga pengarah Kongres Nasional Pemuda PKR 2019 berkata sebelum ini pihaknya membuat persiapan jitu, termasuk mengambil berat daripada pelbagai aspek termasuk keselamatan bagi melancarkan perjalanan program itu, namun tidak menyangka insiden itu berlaku.
“Kita ada skuad keselamatan yang ditugaskan pada hari tersebut dan jemputan yang hadir perlu ada pas rasmi, bagaimanapun terdapat pihak tidak bertanggungjawab yang tidak akur pada ketetapan, seperti yang dinyatakan dan perkara ini tidak sepatutnya berlaku,” katanya.
Pada 6 Disember lepas, media melaporkan Kongres tahunan Pemuda dicemari dengan insiden kecil kekecohan yang pertama, ekoran sekumpulan anggota Pemuda tidak dibenarkan masuk ke dewan persidangan, kerana telah penuh manakala kali kedua, semasa kongres berhenti rehat. – Bernama, 11 Disember, 2019.
Komen