POLIS Myanmar mendakwa dua orang wartawan asing bekerja untuk media Turki- bersama-sama dua orang rakyat tempatan- kerana melanggar undang-undang import selepas mereka menerbangkan sebuah dron melintasi Parlimen negara itu.
Semua mereka akan ditahan sehingga pendengaran kes. Mereka didakwa di bawah kesalahan yang boleh dijatuhkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda kerana import dan eksport “barangan terhad atau diharamkan” tanpa lesen.
“Kami sudah membuka kes terhadap empat orang- dua rakyat asing dan dua rakyat Burma. Mereka akan direman sehingga 10 November,” kata Timbalan Polis Kolonel Kyaw Moe kepada AFP.
Rakyat asing itu, Lau Hon Meng dari Singapura dan rakyat Malaysia, Mok Choy Lim ditahan pada Jumaat di ibu kota Myanmar, Naypyidaw ketika melakukan tugasan untuk stesyen penyiaran Turki, TRT.
Mereka bekerja bersama-sama wartawan terkenal Myanmar, Aung Naing Soe dan seorang pemandu tempatan, Hla Tin.
Kejadian itu menimbulkan ketegangan antara Myanmar dan Turki, yang mengkritik negara itu kerana layanannya kepada minoriti Islam Rohingya.
Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan menuduh Myanmar menyemai “keganasan Buddha” dan melakukan genosid ke atas masyarakat Islam itu.
Lebih daripada 600,000 Rohingya melarikan diri dari Negeri Rakhine, Myanmar sejak hujung Ogos lalu, selepas perkampungan mereka dibakar tentera dan sami radikal Buddha.
Beberapa wartawan sudah ditahan di Myanmar tahun ini, menimbulkan kebimbangan kebebasan media yang baru sahaja berkembang selepas berakhirnya pemerintahan junta pada 2011 sedang diancam.
Ramai yang didakwa atas tuduhan fitnah atau ditahan kerana melaporkan berita tentang kumpulan pemberontak bersenjata. – AFP, 29 Oktober, 2017.
Komen