MTUC gesa Dewan Negara tolak pindaan akta buruh


Pindaan akta buruh dicadangkan Pakatan Harapan akan membunuh kesatuan sekerja, kata MTUC. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Disember, 2019.

KONGRES Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) melakukan usaha terakhir untuk membatalkan pindaan Rang Undang-Undang Akta Perhubungan Perusahaan (APP) dengan menghalang ia diluluskan Dewan Negara.

MTUC berkata mereka sudah bertemu Majlis Senator Malaysia pada Isnin untuk menyakinkan ahlinya supaya tidak meluluskan RUU itu yang didakwanya “bertujuan membunuh kesatuan sekerja”.

Delegasi MTUC juga menghantar laporan terperinci mengapa RUU itu perlu dikembalikan kepada Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan untuk semakan semula, sebelum dibentangkan sekali lagi pada sidang Parlimen akan datang.

Presiden MTUC Abdul Halim Mansor juga sudah menjelaskan bagaimana RUU itu akan melemahkan kesatuan sekerja dan menjejaskan hak pekerja.

“Kami mendesak Senator untuk mempertimbangkan kehidupan 15 juta pekerja, keluarga mereka dan kepentingan negara berbanding menyokong tindakan salah kementerian yang mencadangkan undang-undang yang buruk,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Delegasi MTUC itu diketuai oleh Halim dan Setiausaha Agung J Solomon.

Halim berkata pindaan terhadap RUU itu dibuat tanpa rundingan dengan MTUC dan Persekutuan Pekerja Malaysia, seterusnya mencabul Konvesyen Organisasi Buruk Antarabangsa (ILO) 144 yang diratifikasi Malaysia.

“Senat adalah institusi utama yang mempunyai undi akhir untuk memastikan undang-undang yang tidak adil dan buruk kepada rakyat Malaysia tidak diluluskan. Ia perlu menunjukkan ia berkhidmat untuk negara dan kami percaya kepada ahli Senat.

“Dengan menghantar semula RUU APP itu ia bermaksud (mendesak) Pakatan Harapan supaya menepati janji pilihan rayanya dalam pembaharuan demokrasi berparlimen.

“Kami sentiasa menyokong pembaharuan undang-undang buruh tetapi ini bukan caranya yang jika diluluskan akan kelihatan seperti (usaha) memecahkan kesatuan ditaja kerajaan,” tambahnya.

Dua peruntukan yang dibangkitkan MTUC adalah Seksyen 12 yang membenarkan penubuhan pelbagai kesatuan sekerja satu kategori di tempat kerja dan Seksyen 20 yang membenarkan wakil kesatuan dilantik bukan daripada kesatuan, MTUC atau MEF dengan membenarkan perunding mewakili pekerja. – 10 Disember, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen