Haniff Khatri tolak teori konspirasi kes Yusoff Rawther


Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla menafikan tindakannya mewakili Muhammad Yusoff Rawther (kanan) adalah satu konspirasi yang diatur oleh Dr Mahathir Mohamad. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 10 Disember, 2019.

PEGUAM Mohamed Haniff Khatri Abdulla menafikan dakwaan bahawa beliau bertindak bagi pihak Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dengan mewakili Muhammad Yusoff Rawther yang menuduh Anwar Ibrahim melakukan salah laku seks terhadapnya.

Yusoff, 28, memberi keterangan selama lapan jam ibu pejabat polis Bukit Aman di Kuala Lumpur, semalam. Beliau mendakwa dalam akuan bersumpah yang Anwar cuba memaksanya melakukan perbuatan seks di rumah presiden PKR itu di Bukit Segambut pada 2 Oktober tahun lepas.

Haniff dalam kenyataan yang dikeluarkan malam tadi menafikan tindakannya mewakili Yusoff adalah satu konspirasi yang diatur oleh Dr Mahathir.

“Saya adalah seorang pengamal undang-undang swasta. Ya, saya ada mewakili Tun Mahathir sebelum ini, dan ada beberapa perkara yang saya masih kendalikan dalam beberapa fail peribadi beliau,” katanya.

Menurutnya, sebagai pengamal undang-undang swasta, beliau tidak berhak menolak daripada mewakili mana-mana pihak melainkan dalam keadaan tertentu yang menyebabkan beliau tidak layak mewakili Yusoff.

“Meletakkan hujah pencipta teori konspirasi di tahap tertinggi sekali pun, fakta bahawa saya berada di hadapan dalam mewakili Yusoff Rawther ini, semestinya bagaikan ‘sudah terang lagi bersuluh’ pada hakikatnya bahawa Tun Mahathir tidak mungkin berada di belakang perkara ini sama sekali, kerana jika tidak, nescaya keberadaan saya di barisan hadapan sudah pasti menjadi satu pendedahan jelas konspirasi itu, bukankah begitu?.

“Pada saya, kebolehan segolongan masyarakat kita untuk mencipta teori-teori konspirasi yang luarbiasa, kadang-kadang boleh menjatuhkan kebolehan Hollywood dan Bollywood dan Kollywood, ke tangga kedua, ketiga dan keempat dalam kedudukan masing-masing.

“Mungkin ada baiknya, golongan itu menggunapakai ciptaan teori masing-masing untuk pembikinan cerita wayang untuk memperolehi pulangan lumayan.”

Akaun bersumpah Yusoff dikongsi secara meluas di media sosial dan kumpulan berbual pada 4 Disember, pada masa yang sama Yusoff mengadakan sidang akhbar mengenai perkara itu.

Anwar menafikan dakwaan tersebut dengan berkata pada tarikh didakwa kejadian tersebut berlaku, beliau menghadiri Majlis Memperingati Ulang Tahun Kelahiran Mahatma Gandhi ke-150 di Kuala Lumpur dan kembali semula ke Port Dickson untuk memenuhi jadual kempen pilihan raya kecil.

Haniff pernah mewakili Dr Mahathir dalam beberapa kes termasuk siasatan diraja pada 2017 terhadap kerugian tukaran wang asing Bank Negara pada 1990-an dan kes saman terhadap Najib Razak pada 2018 atas dakwaan campur tangan dalam siasatan skandal 1MDB. – 10 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen