SEORANG rakyat Malaysia antara 13 yang terbunuh dalam letusan gunung berapi di pulau pelancongan White Island, New Zealand semalam, kata pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington.
Dalam satu kenyataan di Twitter, pejabat itu berkata ia sedang cuba mendapatkan maklumat lanjut ketika siasatan sedang dijalankan oleh pihak berkuasa di New Zealand.
“Kami bekerjasama erat dengan pihak berkuasa tempatan dan akan terus mengemaskinikan maklumat dari masa ke masa.
“Kami menggesa orang ramai supaya berhubung dengan kami sekiranya ada maklumat mengenai rakyat Malaysia yang berada di kawasan itu,” kata pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington dalam kenyataan hari ini.
Awal hari ini, Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern mengesahkan lima maut dan lapan masih hilang dalam tragedi itu. Tinjauan pasukan penyelamat mendapati tiada tanda mangsa yang hilang terselamat.
Antara yang hilang dan cedera adalah pelancong dari Australia, Amerika Syarikat, Britain, China dan Malaysia serta warga New Zealand yang bertindak sebagai pemandu arah.
“Tumpuan pagi ini adalah untuk misi mencari dan memastikan polis dapat melakukannya dengan selamat,” katanya pada satu sidang media.
“Kepada mereka yang kehilangan ahli keluarga dan rakan-rakan, kami berkongsi kesedihan mendalam anda,” katanya.
Selain yang sah maut dan hilang, Ardern berkata 31 orang yang berada di pulau itu ketika letupan berlaku sedang dirawat di hospital kerana pelbagai kecederaan termasuklah melecur teruk.
Selepas beberapa jam letupan, polis mendapati risiko kerja menyelamat di tanah terlalu tinggi.
Jurucakap polis Bruce Bird berkata helikopter yang melakukan tinjauan di kawasan berkenaan selama 45 minit gagal mengesan mangsa yang masih hidup.
Kebimbangan keselamatan juga melambatkan usaha mendapatkan mayat mangsa terkorban.
Ketika letupan, pulau itu dilawati sekumpulan lebih 30 orang dari kapal pelayaran Royal Caribbean, Ovation of the Seas, yang meninggalkan Sydney untuk pelayaran 12 hari minggu lepas.
Perdana Menteri Scott Morrison berkata 24 warga Australia adalah antara yang menyertai lawatan itu.
Pesuruhjaya tinggi British di New Zealand berkata dua warganya masih dirawat.
Letupan di White Island- juga dikenali sebagai Whakaari- berlaku selepas jam 2 petang waktu tempatan pada Isnin, mengeluarkan asap setinggi 12,000 kaki ke langit.
Ahli saintis berkata terdapat peningkatan pergerakan di gunung berapi itu minggu lepas- tetapi tiada tanda akan berlaku letupan. – 10 Disember, 2019.
Komen