Najib terangkan sebab tidak buat laporan polis mengenai akaun


Bede Hong Ravin Palanisamy

Bekas perdana menteri Najib Razak tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini bagi perbicaraan SRC International, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 9 Disember, 2019.

NAJIB Razak tidak membuat laporan polis pada 2015 mengenai kesilapan dalam akaunnya di Ambank kerana tidak mahu dilihat campur tangan dalam siasatan, mahkamah diberitahu hari ini.

Bekas perdana menteri memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, beliau percaya bekas ketua eksekutif Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M) Ung Su Ling bersekongkol dengan Low Taek Jho untuk memanipulasi akaunnya, selepas bertemu dengan pengarah urusan Ihsan Perdana Sdn Bhd Dr Shamsul Anwar Sulaiman pada Julai 2015.

Dr Shamsul kemudian direman dan disoal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung laporan yang diterbitkan pada 2 Julai 2015 oleh Sarawak Report dan Wall Street Journal, yang mendakwa RM42 juta dana SRC International masuk ke dalam akaun bank peribadi Najib.

Bank Negara Malaysia, Pejabat Peguam Negara dan polis juga menjalankan siasatan ketika itu.

“Saya tidak membuat laporan, atau membuat kenyataan umum, atau mengambil sebarang tindakan kerana tidak mahu dilihat sebagai campur tangan atau cuba campur tangan dalam siasatan yang dijalankan oleh pihak berkuasa penguatkuasaan. Saya menunggu keputusan siasatan,” kata Najib ketika disoal oleh peguam bela Wan Aizuddin Wan Mohammed pada perbicaraan SRC International hari ini.

“Saya dimaklumkan perlu diambil kenyataan oleh SPRM pada Disember 2015. Disebabkan saya tidak terlibat atau tidak mengetahui perkara (yang disiasat), saya memilih untuk tidak campur tangan kerana saya percaya kebenaran akan muncul.”

Najib berkata beliau juga dibebaskan daripada sebarang salah laku oleh peguam negara ketika itu Apandi Ali pada 2016. Kenyataan Apandi yang dibacakan oleh Najib, menyatakan:

a) Tiada bukti menunjukkan YAB PM menyalahgunakan kedudukannya semasa Mesyuarat Kabinet yang meluluskan jaminan kerajaan mengenai pinjaman RM4 bilion kepada SRC International daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP);

b) Bukti juga menunjukkan proses kelulusan pinjaman oleh KWAP dan kelulusan jaminan pinjaman oleh Kabinet dilakukan dengan sewajarnya;

c) Tiada bukti menunjukkan YAB PM meminta atau dijanjikan sebarang rasuah daripada mana-mana pihak sama ada sebelum, semasa atau selepas keputusan Kabinet dibuat;

d) Bukti secara keseluruhannya tidak mendedahkan sebarang percanggahan kepentingan di pihak YAB PM; dan

e) SPRM sendiri mengakui berdasarkan siasatan mereka, tidak ada bukti daripada saksi yang dapat menunjukkan YAB PM melakukan apa-apa amalan rasuah. – 9 Disember, 2019.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen