MASIH banyak yang perlu dilakukan Putrajaya untuk menangani kos sara hidup, kata Saifuddin Nasution yang turut mengakui rakyat masih bergelut dengan harga barangan dan perkhidmatan selepas lebih setahun Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran.
Merujuk laporan Bank Dunia, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu berkata, harga barang, kemampuan beli rumah dan pengangkutan menjadi beban kepada golongan berpendapatan rendah.
“Rakyat Malaysia memperuntukan kira-kira 70% daripada perbelanjaan bulanan mereka untuk tiga komponen ini,” katanya kepada pemberita.
Menurutnya, golongan berpendapatan rendah membelanjakan sebahagian besar pendapatan bulanan mereka untuk barangan keperluan seperti makanan sementara golongan berpendapatan tinggi membelanjakan sebahagian pendapatan mereka ke atas barangan mewah.
“Apabila berlaku kenaikan harga barang golongan berpendapatan rendah paling teruk terjejas,” katanya.
Saifuddin berkata kerajaan perlu dilihat berusaha keras untuk menangani isu kos sara hidup.
“Kita tidak boleh berpuas hati dengan tahap ini. Kita perlu buat lebih daripada itu,” tambahnya.
Salah satu janji Pakatan dalam kempen pilihan raya umum lalu adalah menurunkan kos sara hidup sekiranya mendapat kuasa – janji yang masih belum ditunaikan sejak 18 bulan berkuasa. – 9 Disember, 2019.
Komen