Beri peluang kedua kepada bekas banduan


PROJEK Reben Kuning iaitu inisiatif bagi memberi peluang pekerjaan kepada bekas banduan terutamanya golongan belia yang bermasalah telah dilancarkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di bawah teraju pentadbiran kerajaan PH sejak setahun yang lalu.

Inisiatif ini dilancarkan KBS dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri (KDN), khususnya Jabatan Penjara dengan tujuan memberi peluang kedua kepada bekas penghuni penjara dan sekolah pemulihan akhlak terutama daripada golongan belia.

Program khas sebegini menjadi bukti keprihatinan pihak kerajaan terhadap semua lapisan masyarakat termasuk golongan yang bermasalah seperti ini. Jadi semua pihak baik agensi kerajaan, syarikat korporat, anggota masyarakat dan juga ahli keluarga wajar menyokong penuh program yang baik ini.

Kita pernah didedahkan sebelum ini betapa hampir 90 peratus daripada kira-kira 300 banduan Penjara Kajang yang dibebaskan setiap minggu. Mereka menjadikan beberapa lokasi di sekitar ibu kota seperti Chow Kit, Puduraya serta bandar Kajang untuk meneruskan kehidupan secara bergelandangan selepas gagal kembali ke pangkuan keluarga masing-masing. Mereka terus disisih oleh ahli keluarga dan anggota masyarakat sehingga mencetuskan pelbagai masalah sosial yang lain.

Antara punca mereka terpaksa meneruskan kehidupan secara gelandangan ialah kerana ahli keluarga tidak mahu menerima mereka di samping mereka tidak dapat sebarang peluang pekerjaan untuk meneruskan kelangsungan kehidupan selepas keluar dari penjara dan pusat pemulihan.

Golongan penagih dadah misalnya menjadi antara kelompok bekas banduan yang sangat sukar untuk meneruskan kehidupan selepas keluar dari penjara. Ternyata keluarga dan masyarakat masih berat hati untuk memaafkan dan menerima semula bekas banduan sebagai sebahagian daripada anggota keluarga dan masyarakat kita.

Ini ditambah pula keengganan pihak majikan untuk yakin, percaya dan membuka peluang pekerjaan kepada mereka. Persepsi bahawa bekas banduan akan terus melakukan kesalahan masih menebal dalam kalangan anggota masyarakat kita.

Hakikatnya mereka juga adalah sebahagian daripada kita. Mereka juga wajar mendapat peluang kedua untuk memperbetulkan kesilapan lampau dan meneruskan kehidupan.

Kita akui penglibatan mereka dalam dadah dan juga pelbagai jenayah lain adalah suatu tindakan yang sukar diterima dan juga sukar dimaafkan tetapi tidak salah untuk kita berlapang dada, berfikiran positif dan membantu mereka membina hidup baru terutamanya kaum keluarga sendiri. Tambahan pula mereka telahpun menjalani hukuman yang setimpal.

Masyarakat perlu sedar tindakan kita terus menyisihkan mereka boleh mendatangkan lebih banyak kemudaratan kepada diri mereka dan juga masyarakat. Akibat terus disisih mereka akan rasa diri tidak berguna lagi dan ini akan menambahkan tekanan seterusnya mendorong mereka kembali terjebak dalam kancah jenayah lampau.

Ini bukan saja akan merosakkan mereka lagi malah boleh mendatangkan pelbagai ancaman keselamatan kepada masyarakat.

Apakah kita mahu menjadi punca mereka kembali terlibat dalam jenayah?

Jadi kita berharap sangat Projek Reben Kuning ini akan mencetuskan sinar baru kepada semua bekas banduan untuk berdiri di kaki sendiri dan membina hidup baru tanpa bergantung harap atau menyusahkan orang lain.

Untuk itu peluang pekerjaan itu perlu disediakan dengan sewajarnya kepada golongan ini. Misalnya sama seperti kuota pekerjaan untuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU), mungkin sudah tiba masanya KBS juga mengutarakan cadangan kepada Jabatan Perkhidmatan Awama (JPA) dan juga pihak industri agar mewujudkan kuota khas untuk golongan bekas banduan.

Kita percaya mereka yang benar-benar sudah insaf dan ingin berubah cukup ramai. Mereka juga pastinya sudah menimba pelbagai kemahiran ketika berada di penjara dan pusat pemulihan akhlak. Itu semua boleh menjadi aset dan kelebihan kepada mereka untuk membantu para majikan yang sanggup menggaji mereka.

Malah tidak salah juga jika membuka peluang latihan vokasional dan pendidikan teknikal (TVET) kepada golongan ini agar dapat terus mengasah kemahiran dan menceburi bidang pekerjaan yang bersesuaian atau menjadi usahawan.

Banyak yang kita boleh membantu mereka sebenarnya. Tatkala kita terlalu bergantung harap kepada pekerja asing terutamaya dalam sektor pekerjaan 3D iaitu “dirty, difficult and dangerous” (kotor, sukar dan bahaya) di mana rakyat kita masih memandang rendah dan negatif kerja sebegini, mungkin tiba masanya untuk kita melatih dan menghala golongan bekas banduan ini masuk ke dalam sektor 3D.

Dengan ini kita bukan saja dapat mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing, malah dapat juga mengatasi masalah peluang pekerjaan dalam kalangan bekas banduan ini.

Dalam konteks ini Projek Reben Kuning boleh diangkat sebagai platform terbaik yang boleh memainkan peranan seperti agensi latihan dan pekerjaan kepada bekas banduan.

Misalnya KBS dengan kerjasama agensi berkaitan perlu wujudkan sebuah pasukan khas untuk yang bertindak sebagai pasukan yang akan mengumpul data bekas banduan, menguruskan mereka selepas keluar dari penjara dari segi membantu memberikan latihan TVET yang bersesuaian kepada yang masih mahu belajar dan juga memadankan mereka dengan majikan yang memerlukan pekerja.

Untuk itu juga perlu ada kolaborasi dan kerjasama yang strategik antara KBS dengan JPA serta syraikat korporat supaya boleh mewujudkan peluang latihan dan pekerjaan yang diperlukan oleh bekas banduan ini.

Dalam pada itu anggota keluarga dan masyarakat juga perlu memainkan peranan yang penting bagi membantu golongan ini untuk membina hidup baru. Ahli keluarga misalnya janganlah sisihkan mereka terus, terimalah mereka dengan  seadanya dan bagilah sokongan moral supaya merka boleh bangkit dari kesilapan yang telah dilakukan seterusnya membina hidup baru.

Anggota masyarakat juga perlu segera ubah persepsi dan jangan sesekali memandang hina kepada bekas banduan. Betul mereka telah buat kesilapan dan tersalah langkah, dan untuk itu mereka telahpun menjalani hukuman yang sewajarnya. Kita tidak perlu menambahkan lagi derita mereka sebaliknya bantulah mereka seadanya.

Ubahlah persepsi dan pandangan kita terhadap bekas banduan. Mereka juga manusia biasa yang memerlukan bimbingan, nasihat dan tunjuk ajar untuk perbaiki kesilapan lalu. Tindakan sebahagian anggota masyarakat yang terus menghina mereka langsung tidak akan membantu malah akan lebih mengeruhkan lagi keadaan.

Terimalah hakikat bekas banduan juga adalah sebahagian daripada anggota masyarakat kita. Mereka juga berhak mendapat peluang kedua. Kita perlu buang jauh-jauh segala bentuk stigma, prasangka buruk dan was-was terhadap bekas banduan.

Janganlah kita mengeruhkan lagi keadaan apatah lagi menganiaya mereka yang berazam untuk berubah dan memperbaiki kesilapan lampau.

Mari kita sokong Projek Reben Kuning ini supaya menjadi platform dan pemangkin terbaik kepada golongan bekas banduan untuk memperoleh peluang kedua bagi menjadi manusia yang berguna kepada diri, keluarga, masyarakat dan juga negara. – 9 Disember, 2019.

* Noor Mohamad Shakil Hameed merupakan timbalan pengarah Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen