Perjanjian damai Hamas-Fatah akan tetap diteruskan


Di bawah perjanjian itu, Fatah yang mendominasi Pihak Berkuasa Palestin (PA) akan kembali mengawal Gaza- yang dirampas Hamas dalam perang saudara 2007- pada 1 Disember depan. – Gambar AFP, 29 Oktober, 2017.

KETUA Keselamatan Hamas, Tawfiq Abu Naim meninggalkan hospital pada Sabtu selepas dirawat kerana kecederaan letupan bom dan berikrar yang perjanjian untuk menamatkan persengketaan sedekad lamanya dengan musuh mereka, Fatah akan terus diusahakan.

Letupan pada Jumaat itu menyebabkan Abu Naim cedera ringan dan dianggap Kementerian Dalam Negeri Hamas sebagai “cubaan bunuh yang gagal”.

Ketua Hamas, Ismail Haniya memberita petunjuk menyalahkan Israel tetapi masih tidak ada pihak mengaku bertanggungjawab dalam kejadian itu.

Abu Naim dalam satu kenyataan pada Sabtu mengatakan “objektif mereka yang melakukan tindakan terkutuk itu tidak akan tercapai.”

“Kami bertegas mahu melupakan perpecahan dan menjadikan perpaduan nasional satu kenyataan walau apa yang berlaku,” katanya.

Abu Naim mengatakan tarikh tamat 1 November untuk Hamas menyerahkan lintasan sempadan kepada Pihak Berkuasa Palestin akan dipatuhi.

Presiden Palestin Mahmud Abas daripada Fatah menandatangani perjanjian perdamaian dengan Hamas yang memerintah Tebing Gaza selama 10 tahun pada 12 Oktober lalu.

Di bawah perjanjian itu, Fatah yang mendominasi Pihak Berkuasa Palestin (PA) akan kembali mengawal Gaza- yang dirampas Hamas dalam perang saudara 2007- pada 1 Disember depan.

Nasib pasukan keselamatan Hamas selepas ia memindahkan kuasa kepada PA adalah salah satu isu yang paling rumit untuk ditangani dalam proses pendamaian itu.

Abbas mahu penyerahan itu menyeluruh dan termasuklah institusi keselamatan tetapi pemimpin Hamas di Gaza, Yahya Sinwar mengatakan “tiada orang” boleh memaksa kumpulannya meletakkan senjata.

Israel dan Amerika Syarikat mengatakan Hamas perlu melucut senjata untuk menjadi sebahagian daripada kerajaan perpaduan itu.

Mereka juga mengatakan yang ia perlu mengiktiraf Israel.

Organisasi Pembebasan Palestin pimpinan Abbas sudah mengiktiraf Israel tetapi Hamas tidak.

Israel dan Hamas sudah tiga kali berperang sejak 2008. – AFP, 29 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen