Tesco cadang jual operasi di Malaysia, Thailand


Tesco dalam satu kenyataan semalam mengesahkan ada pihak berminat terhadap operasinya di kedua-dua negara, lapor Bloomberg. – Gambar AFP, 9 Disember, 2019.

RANGKAIAN pasar raya besar Britain, Tesco sedang mengkaji semula rancangan mengenai operasinya di Malaysia dan Thailand, lapor Bloomberg.

Tesco dalam satu kenyataan semalam mengesahkan ada pihak berminat terhadap operasinya di kedua-dua negara dan sedang menjalankan kajian strategik.

“Penilaian pilihan strategik masih di peringkat awal, tiada keputusan melibatkan masa depan Tesco Thailand atau Malaysia sudah dibuat,” kenyataan itu dipetik.

Menurut Tesco, langkah penjualan masih belum pasti ketika ini, tetapi Dow Jones sebelum ini berkata penjualan boleh mencecah kira-kira AS$9 bilion (RM37 bilion).

Jurucakap Tesco, Simon Rew bagaimanapun enggan mengulas perkara itu, kata Bloomberg.

Operasi 1,967 rangkaian pasar raya dan hartanah Tesco di Thailand dianggarkan berjumlah hampir AS$7 bilion. Di Malaysia, Tesco memiliki 74 pasar raya.

Menurut Dow Jones, hasil perniagaan Tesco di Asia pada separuh pertama 2020 berjumlah £2.6 billion (RM14.1 bilion), kira-kira 8% daripada jumlah jualan. – 9 Disember, 2019. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen