Olimpik anggap permainan video sebagai sukan


Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China merancang untuk memasukkan acara permainan video atau eSukan ke dalam senarai sukan dipertandingkan buat pertama kali dan dianggap langkah pertama untuk mendapat pengiktirafan Olimpik. – Gambar AFP, 29 Oktober, 2017.

IA mungkin hanya memerlukan kerusi yang selesa, pengetahuan tentang komputer dan kepakaran kawalan alat pengawal, tetapi Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) pada Sabtu menegaskan yang eSukan adalah sejenis sukan.

Sidang Kemuncak Olimpik di bawah teraju Presiden IOC Thomas Bach pada pertemuan di Lausanne mengalu-alukan perkembangan fenomena permainan video yang melanda dunia kini.

Dalam satu kenyataan ahli-ahli jawatankuasa bersetuju yang “pertandingan eSukan boleh dianggap aktiviti sukan, dan pemain terlibat melakukan persediaan dan berlatih dengan ketekunan yang boleh dianggap setanding dengan atlet sukan tradisional”.

Ledakan eSukan sudah diiktiraf di Asia dengan Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China merancang untuk memasukkan acara itu ke dalam senarai sukan dipertandingkan buat pertama kali dan dianggap langkah pertama untuk mendapat pengiktirafan Olimpik.

“eSukan menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan terutama sekali dalam kalangan belia merentasi pelbagai negara dan boleh menyediakan platform Olimpik,” kata Sidang Kemuncak Olimpik itu.

Bagaimanapun, organisasi Olimpik itu masih mempertimbangkan beberapa perkara.

“Dalam usaha untuk diiktiraf IOC sebagai sejenis sukan, kandungan eSukan tidak boleh melanggar nilai-nilai Olimpik.

“Syarat selanjutnya untuk pengiktirafan IOC perlulah mewujudkan sebuah organisasi yang menjamin kepatuhan kepada syarat dan peraturan Olimpik (anti doping, pertaruhan, manipulasi, dan sebagainya.)” – AFP, 29 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen