Hentikan tindakan provokasi rakyat, Muhyiddin beri amaran


Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata insiden berkenaan dianggap sebagai suatu provokasi untuk mengeruhkan keadaan di dalam negara.– Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Disember, 2019.

MENTERI Dalam Negeri Muhyiddin Yassin memberi amaran kepada semua pihak supaya berhenti daripada membuat provokasi dengan mengeluarkan kenyataan atau melakukan tindakan yang menyentuh sensitiviti rakyat.

Beliau merujuk pada insiden sejak beberapa minggu ini yang melibatkan lambang negara terutama bendera Jalur Gemilang dan lagu kebangsaan Negaraku, serta aktiviti melibatkan fahaman komunisme.

“Saya memandang serius perkembangan tidak sihat ini yang dianggap sebagai suatu provokasi untuk mengeruhkan keadaan di dalam negara.

“Tindakan menghina lambang negara terutama Jalur Gemilang dan lagu Negaraku adalah amat tidak bertanggungjawab dan tidak melambangkan semangat patriotisme.

“Pada masa sama, penganjuran sebarang aktiviti untuk memperingati atau menghidupkan semula pergerakan komunis di negara ini tidak sepatutnya berlaku dan wajar dihentikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Muhyiddin, pihak polis sudah mula menyiasat beberapa insiden itu.

Beliau juga sudah mengarahkan mereka agar memaklumkan kepada umum perkembangan siasatan dalam masa terdekat.

“Tindakan tegas akan diambil mengikut lunas undang-undang sedia ada terhadap mana-mana pihak yang didapati dengan sengaja cuba menimbulkan kegusaran awam.

“Kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri tidak akan bertolak-ansur terhadap sebarang tindak-tanduk yang mampu mengganggu-gugat ketenteraman awam dan keharmonian negara,” katanya.– 8 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen