Akmal dakwa ada pihak cuba cetus keganasan di kongres Pemuda PKR


Mohd Farhan Darwis

Ketua Pemuda PKR Akmal Nasir mendakwa beliau mendapat tahu mengenai perkara itu daripada seorang pemberi maklumat. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 8 Disember, 2019.

AKMAL Nasir mendakwa ada pihak cuba mencetuskan keganasan dan menggulingkannya sewaktu persidangan kongres sayap Pemuda PKR (AMK) pada Jumaat.

Ketua Pemuda PKR itu mendakwa beliau mendapat tahu mengenai perkara itu daripada seorang pemberi maklumat semalam.

“Saya agak terkejut bila semalam saya didatangai pemberi maklumat mengenai ada usaha rancang keganasan dan bukti melalui Whatsapp,” kata ahli Parlimen Johor Baru itu ketika ucapan penggulungan di Kongres Nasional PKR di Ayer Keroh, Melaka pagi tadi.

“Satu lagi aku nak 30 hardcore untuk security team, bawa Tony dan Shamil, aku nak kunci pintu dewan nk buat undi tak percaya kepada Akmal. Aku nak hardcore tempur punya,” kata Akmal, memetik butiran isi kandungan mesej pesanan yang diperolehinya daripada pemberi maklumat tersebut.

“Siapa yang nak merosakkan parti kita? Samseng ini bukan budaya kita.”

Sehubungan itu Akmal berkata, pihaknya akan menyerahkan segala bukti dakwaan berkenaan kepada pihak berkuasa.

“Saya akan serahkan bukti ini pada PDRM untuk siasat dan jika benar ada orang rekrut gengster untuk kacau AMK, wajib kita pecat dan dakwa di bawah kanun keseksaan jenayah.

“Itu cerita luar dewan AMK tapi dalam dewan baik-baik sahaja,” kata Akmal lagi.

Pihaknya juga mengambil tanggungjawab atas insiden keganasan yang berlaku sewaktu persidangan Pemuda PKR pada Jumaat lalu sehingga mengakibatkan kecederaan.

“Saya nyatakan kesal terhadap rempuhan dan rusuhan pada kongres AMK pada Jumaat lepas, adakah saya akan bertanggungjawab? Ya, saya dan seketariat bertanggungjawab memastikan perjalanan kongres lancar dan selesai.

“Kami juga bertanggungjawab memastikan keselamatan perwakilan dan pemerhati.

“Sebagai penghargaan kita beri satu tepukan gemuruh kepada Skuad PKR memastikan keadaan terkawal, saya percaya sekiranya kita kekal pada prinsip Allah akan bantu, buka pintu dan ramai akan percaya dan pertahankan kita,” kata Akmal lagi. – 8 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen