SEJAK dibebaskan dari tahanan pada bulan lalu, Yazid Sufaat meluangkan masanya dengan berkebun, beribadat di surau dan membaca Al-Quran.
Beliau perlu memakai alat pemantauan elektronik di kakinya setiap masa dan setiap pergerakannya diawasi polis.
Namun isteri Yazid, Chomel Muhammad tetap bimbang keselamatan suaminya terancam selepas dibebaskan dari pusat tahanan Simpang Renggam.
“Saya cuma risau dia akan menjadi sasaran ejen perisik asing. Disebabkan itu, saya sentiasa memastikan saya atau ahli keluarga lain bersama Yazid ketika keluar dari rumah.
“Jika berseorangan, saya memang meminta dia berehat di rumah sahaja,” kata Chomel, 55, ketika ditemui The Malaysian Insight di restoran yang diusahakannya di Kampung Attap.
Yazid, meringkuk di penjara lebih satu dekad lamanya atas kegiatan berbeza yang didakwa berkaitan keganasan. Namun tiada satu pun dibawa ke mahkamah.
Kebimbangan Chomel ke atas keselamatan suaminya itu berkaitan kegiatan Yazid yang didakwa terlibat dengan serangan ke atas World Trade Centre di New York pada 2001.
Penglibatannya dengan militan di Afghanistan pada 1990-an membolehkannya bertemu anggota Al-Qaeda, dan rumahnya turut dikunjungi kumpulan ini untuk mengadakan pertemuan.
Dalam salah satu pertemuan inilah rancangan untuk melanggar bangunan di Amerika Syarikat dengan menggunakan pesawat udara didakwa dibincangkan.

Pada 2000 beliau juga didakwa terlibat dengan rancangan mengebom bangunan di Singapura, yang berjaya digagalkan.
Chomel, bagaimanapun berkata penahanan suaminya untuk tempoh sebegitu lama itu tidak membuktikan apa-apa kesalahan kerana tuduhan berkenaan tidak diputuskan di mahkamah.
Pada mulanya, Yazid ditahan untuk tempoh lapan tahun di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selepas penahanannya pada Disember 2001.
ISA yang sudahpun dimansuhkan merupakan undang-undang pencegahan yang memberi kuasa untuk menahan tanpa bicara.
Bekas pegawai tentera kelahiran Johor itu ditahan semula pada 2013 dan dipenjara selama empat tahun di Penjara Tapah, Perak kerana didakwa merekrut anggota Daesh di Iraq dan Syria.
Tuduhan itu bagaimanapun ditarik balik oleh Pejabat Peguam Negara, menurut peguam Yazid. Pertuduhan itu kemudian dipindah kepada dakwaan menyembunyi maklumat daripada pihak berkuasa.
Yazid mengaku salah atas tuduhan tersebut dan dipenjara sekali lagi.
Pada 2017, beliau ditahan semula bawah Undang-Undang Pencegahan Keganasan 2015 (POTA) kerana merekrut banduan untuk menyertai Al-Qaeda.
Menurut peguamnya, tuduhan itu “kabur” tetapi Yazid tetap ditahan di penjara kerana POTA membenarkan penahanan tanpa bicara atau semakan kehakiman sehingga dua tahun.
Tempoh tahanan itu berakhir apabila beliau dibebaskan daripada Penjara Simpang Renggam pada 20 November lalu.
Beliau diwajibkan memakai alat pengawasan elektronik di kakinya dan tidak dibenarkan meninggalkan Ampang tanpa kebenaran polis.
Yazid perlu memakai alat itu selama dua tahun dan berada di rumah di antara jam 8 malam hingga 6 pagi. Selain itu beliau juga tidak dibenarkan menggunakan Internet.
“Yazid akur saja dengan semua arahan itu. Janji dia dapat bebas dan bersama dengan keluarga yang dirindui bertahun-tahun lamanya,” katanya.
Ketika ditanya, Chomel enggan membenarkan suaminya ditemubual The Malaysian Insight.
“Saya rasa ia bukan satu idea yang baik. Beliau tidak boleh bercakap dengan media sebenarnya. Saya juga hadkan pelawat yang mahu jumpa. Saya tidak mahu tarik perhatian,” katanya lagi.
Beliau kini bercadang untuk membuka satu lagi restoran dan perkhidmatan katering yang dekat dengan kediaman mereka di Ampang supaya Yazid dapat mengaktifkan diri.
“Tetapi, itu semua bergantung pada Yazid jika berminat dalam perniagaan makanan,” katanya.
Pasukan polis anti-pengganas menyifatkan Yazid sebagai salah seorang militan yang paling sukar untuk dipulihkan.
Namun bagi Chomel, setiap tuduhan ke atas Yazid itu tidak dibuktikan.
Dan pada masa inilah empat orang anak mereka, terutama anak bongsu yang kini berusia 20 tahun dapat mengukuhkan ikatan keluarga dengan Yazid.
Chomel berkata, beliau menasihati anak-anaknya untuk mendapatkan maklumat sebenar daripada Yazid dan bukannya daripada media. – 8 Disember, 2019.
Komen