KETUA pembangkang Sarawak Chong Chieng Jen berkata beliau bingung dengan sikap Perdana Menteri Najib Razak yang membisu tentang rasuah dalam Bajet 2018.
“Langsung tak ada perkataan rasuah sepanjang ucapan dua jamnya itu.
“Najib tak sebut perkataan rasuah sedangkan rasuah isu tunggal terbesar, di dalam dan luar negara. Bagi Malaysia terutamanya isu 1MDB, penumpasan kes RM40 juta melibatkan setiausaha politik menteri sumber manusia dan siasatan penyelewengan RM1.5 bilion kementerian luar bandar.
“Bagi Najib, seolah-olah rasuah bukan satu masalah di Malaysia,” kata ketua DAP Sarawak dan ahli parlimen Kuching itu hari ini.
Sikap Najib itu kata Chong boleh dilihat melalui peruntukan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Beliau berkata walaupun peruntukan itu meningkat kepada RM242.1 juta berbanding RM216.2 juta pada tahun lepas, ia “lebih kurang sama peruntukan RM241.1 juta pada 2016, dan tak lebih daripada peruntukan RM265 juta pada 2015”.
“Tanpa usaha serius untuk memerangi rasuah, berbilion duit rakyat akan terus masuk ke dalam poket pegawai dan menteri yang korup.
“Ia akan terus menambahkan hutang negara dan generasi akan datang akan terbeban untuk membayarnya.”
Chong juga mendakwa kerajaan BN berterusan bergantung kepada “amalan keganasan cukai” bagi mengekalkan perbelanjaannya.
Beliau menjelaskan “amalan keganasan cukai” itu sebagai mengutip cukai dengan langkah kejam dan menekan terhadap komuniti perniagaan dan individu.
Katanya, pada 2014, cukai pendapatan individu dan syarikat hanya RM89.6 bilion dikutip manakala pada tahun ini, kutipan itu melonjak kepada RM97.8 bilion dan dianggarkan pada tahun hadapa ia mencecah RM104.6 bilion.
“Peningkatan dalam kutipan cukai pendapatan ini adalah sebbagai tambahan kepada pelaksanaan GST yang meningkatkan kutipan cukai kerajaan menerusi cukai tidak langsung (duti import dan eksport, GST dan cukai jualan dan perkhidmatan) dri RM37. 4 bilion pada 2014 kepada RM64.8 bilion pada 2018.
“Dalam erti kata lain, cukai pendapatan ke atas rakyat akan meningkat dari RM127 bilion pada 2014 kepada RM169.4 bilion tahun depan, peningkatan sebanyak RM42.4 bilion cukai rakyat dalam tempoh empat tahun.”
Katanya, situasi ekonomi kini, seperti peningkatan cukai hanya boleh dicapai dengan cara “amalan keganasan cukai”.
“Dengan tambahan cukai tahunan RM20 kepada RM40 bilion yang diambil daripada rakyat, tidak hairanlah jika semua tertekan dalam penggunaan wang untuk dibelanjakan, yang menyebabkan persekitaran perniagaan yang lembab sejak pelaksanaan GST pada 2015.” – 28 Oktober, 2017.
Komen