Ramai pemimpin PKR dijangka tidak hadir majlis penutup kongres


Lee Chi Leong

Selain Azmin, Ketua Wanita PKR Haniza Talha dan naib presiden Zuraida Kamaruddin, Cua Tian Chang dan Ali Biju juga dijangka tidak hadir. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 7 Disember, 2019.

SESI penggulungan dan majlis penutupan Kongres PKR mungkin tergantung selepas ramai pemimpin parti itu dijangka tidak hadir susulan tindkaan timbalan presiden Azmin Ali dan penyokongnya meninggalkan dewan hari ini.

“Kita akan lihat sama ada masih wujud sikap tanggungjawab untuk memperbaiki keadaan. Tetapi setakat ini, perjanjian kita sudah dimungkiri.

“Jadi apa yang anda harapkan dalam tempoh 24 jam akan datang,” kata Azmin kepada pemberita sama ada beliau dan penyokongnya akan menghadiri majlis penutupan Kongres PKR ke-14 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) esok.

Azmin mengadakan sidang media bagi menjelaskan punca penyokongnya meninggalkan Kongres PKR selepas waktu rehat tengah hari tadi.

Beliau berkata Presiden PKR Anwar Ibrahim memungkiri janji antara mereka agar tidak saling menyerang pada kongres itu. Namun Anwar berkata beliau hanya merujuk kepada teks Sejarah Melayu yang menyebut tentang pengkhianat.

Sudah menjadi amalan kebanyakan parti termasuk PKR apabila pemimpin kanan, timbalan presiden, naib presiden dan presiden hadir pada majlis penutupan kongres dengan ucapan penggulungan selepas mendengar sesi perdebatan.

Namun pergeseran antara penyokong Azmin dan Anwar dijangka menyebabkan sesi perdebatan terpaksa dipendekkan.

Selain Azmin, Ketua Wanita PKR Haniza Talha dan naib presiden Zuraida Kamaruddin, Chua Tian Chang dan Ali Biju juga dijangka tidak hadir.

Azmin berkata beliau sanggup mengambil inisiatif bertemu dengan Anwar pada Rabu menjelang kongres, bagi membincangkan pergeseran mereka.

“Kami menyuarakan kebimbangan masing-masing. Saya tidak fikir kami akan melakukannya jika kami adalah pengkhianat.”

“Kita bersama parti sejak dari awal dan kini parti ini telah kuat, orang baru cuba menghalau kita keluar. Ini tidak adil untuk pemimpin yang membina parti ini sejak 20 tahun lalu.

“Bagaimana kita boleh digelar sebagai pengkhianat pada ulang tahun ke-20 parti,” kata Azmin. – 7 Disember, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen