Jangan terlalu bergantung pada Muafakat Nasional, pesan Mat Hasan


SM Amin

Mohamad Hasan meminta kepada pemimpin dan ahli-ahli Umno supaya memperbaiki parti dan meningkatkan semangat bagi memastikan perjuangan orang Melayu ini dapat diteruskan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 7 Disember, 201

TIMBALAN Presiden Umno Mohamad Hasan mengingatkan pemimpin dan ahli-ahli Umno supaya tidak terlalu bergantung kepada Muafakat Nasional untuk merampas Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Mohamad berkata, berdasarkan pemerhatiannya, beliau mendapati ahli dan pemimpin Umno terlalu yakin Muafakat Nasional sahaja sudah mencukupi untuk membawa Umno kembali berkuasa.

“Beberapa ketika kebelakangan ini saya lihat, penyatuan ummah dan Muafakat Nasional ini telah memberikan satu petanda kepada kita, sudah relaks sangat, tidak perlu buat apa, sudah ada macam satu jaminan kita tetap akan menang pilihan raya. 

“Walaupun kita ada Muafakat Nasional dan gabungan lain, tetapi Umno sebagai parti terbesar di negara ini mesti, kita perbetulkan dan perkasakan semula,” katanya ketika menggulung ucapan dasar presiden di Perhimpunan Agung Umno 2019 di PWTC hari ini.

Zahid berkata, kerjasama tersebut merupakan lambang kepada politik seimbang yang akan dibawa sebagai persiapan untuk menghadapi PRU15 pada masa akan datang. 

Menurut Mohamad, kemenangan dalam siri PRK tahun ini hanya pertempuran kecil untuk menguji strategik parti - berbeza dengan cabaran yang akan dihadapi ketika PRU.

Menurut Mohamad, PRU15 merupakan medan terakhir untuk Umno kembali bangkit semula.

“PRU15 kalau kita tidak menang, baik kita berhenti. Jangan jadi pejuang bangsa kerana itulah titik tolak untuk kita bangun semula,” katanya.

Adun Rantau itu juga menyifatkan kehilangan kuasa Melayu dalam pentadbiran kerajaan telah menyebabkan bangsa Melayu dihina dan maruah dicabar.

“Hari ini Melayu tidak ada maruah, terbangsat kita. Maruah kita tercabar, orang Melayu dihina hari ini. Macam melukut di tepi gantang, berdagang ditanah air,” katanya.

Susulan daripada itu, beliau meminta kepada pemimpin dan ahli-ahli Umno supaya memperbaiki parti dan meningkatkan semangat bagi memastikan perjuangan orang Melayu ini dapat diteruskan.

“Penolakan rakyat sangat besar. Terpulang kepada kita untuk menyambut penolakan tersebut dengan kita meneliti keadaan kita sendiri. 

“Ubahlah mana-mana yang tidak disukai oleh orang supaya orang boleh terima kita semua untuk meneruskan perjuangan ini.

“Jangan ditelanjangkan sangat Umno ini. Jangan didedahkan sangat rahsia dan langkah strategik kita. Berunding elok-elok, jangan berbalah. Kita sudah kalah,” ujarnya. – 7 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen