Kalau Azmin terasa itu masalah dia, kata Anwar


Mohd Farhan Darwis

Anwar Ibrahim menafikan ucapan dasarnya memberi isyarat kepada pembahas untuk menyerang timbalannya Azmin Ali. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 7 Disember, 2019.

PRESIDEN PKR Anwar Ibrahim menafikan ucapan dasarnya memberi isyarat kepada pembahas untuk menyerang timbalannya Azmin Ali.

Katanya, watak Si Kitol yang disebut dalam ucapannya itu tidak merujuk kepada Azmin seperti didakwa.

“Eh, itu (watak dalam teks) Sejarah Melayu… Kalau dia terasa itu masalah dia bukan masalah saya…

“Itu kenyataan sejarah dalam Sulalatus Salatin,” katanya lagi kepada pemberita.

Kira-kira 100 orang penyokong Azmin meninggalkan dewan petang ini kerana tidak berpuas hati dengan tindakan pembahas dalam Kongres PKR menyerang timbalan presiden itu.

Azmin dalam satu sidang media di Bandar Melaka mendakwa pembahas berkenaan bertindak demikian atas isyarat daripada Anwar yang membangkitkan mengenai watak Si Kitol.

Mengulas lanjut mengenai insiden perwakilan memulaukan persidangan itu, Anwar berkata tidak ramai yang bertindak demikian.

 “Tak ramai pun (boikot sidang kongres), dewan penuh,” katanya.

Beliau juga berkata PKR tidak dapat mengawal sepenuhnya ucapan daripada pembahas.
 
“Kita hanya boleh nasihat jangan ada kenyataan yang boleh menyinggung dan menyebut nama-nama (individu).

“Sampai tidak boleh ditegur macam mana… Yang kita boleh tegur, saya dah bagi dalam set (panduan) dalam ucapan dasar,” kata Anwar kepada pemberita.

Ahli Parlimen Port Dickson itu juga berkata, pemilihan pembahas dibuat oleh wakil negeri.

“Jadi terpulang kepada perwakilan, nak kawal ucapan perwakilan susahlah, perwakilan itu dipilih oleh negeri bukan dipilih oleh sekretariat,” kata Anwar.

Selain Azmin, turut meninggalkan dewan persidangan hari ini adalah Naib Presiden Tian Chua, Ketua Wanita Haniza Talha dan timbalannya Daroyah Ali.

Kumpulan itu kemudiannya mengadakan sidang media di lokasi tidak berapa jauh dari tempat kongres.

Kongres Nasional PKR ke-14 selesai hari pertama di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka. – 7 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen