DUA anggota polis diberkas semasa sedang memproses cecair daun ketum secara besar-besaran di sebuah rumah di Cheras.
Sumber polis menyebut, anggota berkenaan ditangkap ketika sedang memasak beberapa periuk besar berisi air ketum di rumah itu dalam kejadian petang semalam.
Sumber berkata, operasi dilakukan sepasukan anggota Cawangan Risikan Operasi Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) susulan risikan sejak seminggu lalu.
“Sebaik tiba di kediaman itu, polis bertindak menahan dua lelaki tempatan sebelum pemeriksaan dilakukan terhadap mereka.
“Siasatan mendapati, dua lelaki terbabit masing-masing berusia 35 dan 37 tahun bertugas sebagai anggota polis Pasukan Simpanan Persekutuan Kuala Lumpur,” katanya.
Menurutnya, pemeriksaan di bilik tidur suspek menemui daun ketum seberat lebih 22 kilogram selain alat penimbang.
“Pemeriksaan di bahagian dapur rumah itu pula menemui tiga bungkusan air daun ketum seberat dua liter di dalam tong plastik.
“Polis turut menemui dua periuk berisi air dan daun ketum yang sedang dimasak di dapur rumah itu menggunakan tong gas,” katanya.
Tambahnya, polis turut menemui periuk berisi air ketum yang sudah siap dimasak selain penapis.
“Selain itu polis turut merampas wang tunai berjumlah hampir RM4,000 dan pelbagai bukti lain milik suspek.
“Suspek kemudian diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang Selangor untuk tindakan lanjut,” katanya. – 7 Disember, 2019.
Komen