TINDAKAN Umno meminda perlembagaan parti untuk menyertakan perkataan “Islam” dalam bahagian asas dan tujuan penubuhan parti itu mendapat pujian seorang pemimpin pemimpin PAS.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz juga mendakwa tindakan tersebut selari dengan permintaan allahyarham bapanya, bekas mursyidul am PAS, Nik Abdul Aziz Nik Mat.
“Umno dah pinda perlembagaan untuk Islam. Alhamdulillah, saya amat gembira,” katanya dalam coretan di Facebook.
Dakwanya, Nik Aziz pernah menetapkan syarat agar Umno menukar dasarnya untuk meletakkan Islam dalam perlembagaan parti jika ingin bekerjasama dengan PAS.
Beliau turut memuatkan petikan ucapan Nik Aziz yang menyebut Umno perlu menukar dasar kebangsaan kepada Islam:
“Kalau Umno hendak bersatu (dengan PAS, tukar dasar kebangsaan dia, bubuh Islam. Bukan buat keputusan secara berseorangan, tetapi perlu buat secara rasmi bahawa Umno tukar dasar kebangsaan kepada Islam.”
Pindaan perlembagaan Umno yang diluluskan semalam memuatkan perkataan “Islam” dalam perenggan “Umno adalah sebuah parti politik yang berjuang mendukung cita-cita Kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara”.
Nik Abduh merupakan antara penggerak kerjasama PAS dengan Umno manakala allahyarham bapanya dikenali sebagai tokoh yang menentang keras sebarang kerjasama dengan parti seteru itu.
Usaha berkenaan bagaimanapun berjaya digerakkan selepas kematian Nik Aziz pada 2015.
Pemimpin PAS yang menolak kerjasama itu membentuk parti Amanah, yang seterusnya menguasai kerajaan persekutuan melalui gabungan Pakatan Harapan selepas menang PRU14.
PAS pula kini membentuk kerjasama rasmi dengan Umno sebagai pembangkang dalam Muafakat Nasional dengan menandatangani piagam. – 7 Disember, 2019.
Komen