Jangan biar PKR pecah kerana puak, kata Anwar


Mohd Farhan Darwis Chan Kok Leong Lee Chi Leong

Presiden PKR Anwar Ibrahim ketika menyampaikan ucapan dasar pada Kongres PKR 2019 yang diadakan di Melaka hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 7 Disember, 2019.

ANWAR Ibrahim meminta anggota PKR agar kembali bersatu dan tidak membiarkan semangat berpuak menyebabkan parti berpecah sewaktu mereka baharu berkuasa.

Seruan perpaduannya dalam ucapan dasar di Kongres PKR 2019 itu bagi menyatukan semula parti yang bermasalah sejak pemilihan setahun lalu.

Katanya, beliau berharap ahli parti akan sentiasa berdisiplin seperti ketika mereka masih belum mempunyai sebarang kuasa sebelum ini.

“Parti ini melalui suasana saat getir begitu lama. Kita bersatu dan kukuh berdisiplin dalam keadaan kita miskin tertekan.

“Tetapi kita mulai menimbulkan pelbagai karenah bila kita punyai kuasa dalam negara dan negeri,” kata Anwar.

Ahli Parlimen Port Dickson itu turut mengakui beliau mempunyai banyak kelemahan namun berharap pemimpin dan anggota akan sentiasa patuh kepada struktur kuasa dalam parti.

“Saya sendiri akui kelemahan dan kekurangan saya. Apa yang boleh perbaiki saya akan perbaiki.

“Tapi saya minta rakan-rakan di semua peringkat ingat perjuangan ini agenda reform. Disiplin mesti ada pada parti, hormat dan kepatuhan mesti ada.

“Boleh ada aliran tapi tak boleh kekalkan fahaman puak-puak yang memecahkan parti,” kata Anwar lagi.

Anwar juga mengingatkan, ahli PKR tidak seharusnya menyerang sesama sendiri kerana setiap anggota perlu dianggap sebahagian daripada keluarga mereka.

“Lawan tetap lawan itu untuk lawan, bukan kawan, yang jahil lawan yang jahil yang di atas senang-senang makan elaun. Yang di bawah jangan jadi perkakas bodoh diperalat.

“Kita harus ingat kita manusia bersahabat, berkeluarga, kita puluhan tahun bersama, kalaupun bertarung jangan hilang pertimbangan akal budi dan akhlak,” kata Anwar lagi.

Dalam ucapannya, Anwar turut memohon maaf atas siri pergaduhan dan keganasan yang berlaku sewaktu persidangan Pemuda PKR semalam.

Katanya, tindakan tegas harus diambil dengan memecat keahlian individu yang terlibat.

“Saya minta maaf kepada anggota parti, penyokong kerana apa yang berlaku semalam dalam mesyuarat Pemuda.

“Perkara itu amat dikesalkan dan saya arahkan parti ambil tindakan segera memecat siapa sahaja terlibat.

“Hal ini dalam perhatian pihak polis jadi jangan terburu buru buat keputusan memihak tetapi berlandaskan fakta,” tambah Anwar lagi di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka.

Dalam kejadian pertama, pergaduhan dan kekasaran tercetus apabila bekas pengerusi tetap Pemuda PKR yang sudahpun dipecat didapati cuba mempengerusikan persidangan.

Pergaduhan tercetus sekali lagi pada waktu petang apabila sekumpulan individu berpakaian hitam didapati cuba menghalang perwakilan tertentu daripada memasuki dewan persidangan. – 7 Disember, 2019.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen