Durian Malaysia pergi ke China, Singapura putih mata


Durian Musang King menjadi kegilaan penggemar raja buah itu dari China yang sanggup berbelanja secara komersial untuk membawa masuk produk itu ke negara mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Oktober, 2017.

MALAYSIA berjaya menembusi pasaran durian di China menyebabkan negara jiran berputih mata, lapor South China Morning Post, hari ini. 

Malaysia turut mendapat lampu hijau untuk mengadakan Festival Durian King selama tiga hari di Nanning, China.

Sementara itu, pengeluar durian di Malaysia mengharapkan acara itu akan membawa kepada akses tanpa kawalan ke dalam pasaran China namun Singapura dan Thailand yang mengharapkan sebaliknya.

Singapura tidak berharap membayar lebih untuk durian Malaysia, yang mana harganya akan melonjak naik sekiranya pembeli dari China mula membida raja buah itu. 

Thailand yang merupakan antara pengeluar durian terbesar dunia juga bimbang sekiranya durian Malaysia akan menyebabkan ia hilang monopoli ke atas pasaran China. 

Terima kasih kepada Mao Shan Wang, iaitu sejenis varieti durian yang dikenali warga tempatan sebagai ‘Musang King’.

Beijing mula membuka pintu yang membenarkan import Musang King ke negara itu. Ia bagaimanapun melarang buah durian segar dibawa masuk sebaliknya hanya membenarkan import dalam bentuk isi yang disejuk beku. 

Namun, Beijing hanya membenarkan Malaysia membawa masuk empat tan durian segar ke negara itu pada festival yang akan diadakan di wilayah Guangxi pada Jumaat.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Ahmad Shabery Cheek dan Speaker Parlimen Pandikar Amin Mulia akan mengetuai delegasi Malaysia untuk hadir pada acara itu, yang dijangka akan menarik 100,000 pengunjung. 

China, merupakan negara yang mempunyai pasaran terbesar durian menerima hampir 600,000 tan buah itu tahun lalu, sebelum ini bergantung kepada stok dari Thailand. 

Ini kerana durian Thai boleh dituai sebelum ia masak, menjadikan penghantaran ke luar negara lebih mudah. 

Sementara durian Malaysia dibiarkan masak di pokok dan akan cepat menjadi masam selepas dituai, menjadikan eksport ke China agak sukar. 

Permintaan masyarakat Cina memberi kelebihan kepada pengeluar tempatan, dengan harga domestik Musang King gred AAA kini melonjak sekitar RM130 sekilogram, dari hanya RM50 sekilogram lima tahun lalu. Di China, jenis yang sama dijual sekitar RM150 sekilogram.

“Lebih ramai warga China datang melawat…mereka sanggup berbelanja untuk Musang King. Mereka amat menggemari rasanya yang agak sedikit pahit dan lembut,” kata Stephen Chow yang keluarganya memiliki beberapa kebun durian di Pahang. 

Di Singapura, penjual durian bimbang sekiranya perniagaan mereka terjejas berikutan kesungguhan China mendapatkan durian Malaysia, yang boleh menyebabkan harganya melonjak dan melemahkan permintaan tempatan.

Negara berpopulasi 5.6 bilion itu mengimport 17,847 tan durian tahun lalu, yang mana 93 peratus daripadanya adalah dari Malaysia, menurut statistik PBB.

“Akhirnya, ia hanya bergantung kepada berapa yang mampu dibayar, apa harga siling mereka. Sekiranya (harga durian) menjadi terlalu tinggi, jadi kita perlu menjualnya (dengan agak murah). Itu bagaimana perniagaan ini berjalan,” kata pemilik gerai durian Ah Seng yang popular di Singapura. – 28 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen