Kumpulan Hilman mahu RoS batal Kongres Pemuda PKR


Mohd Farhan Darwis

Timbalan Ketua Pemuda PKR Hilman Idham (kanan) mengaitkan kejadian keganasan itu dengan tindakan sabotaj dan mahu setiausaha Pemuda PKR bertanggungjawab.– Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 6 Disember, 2019.

SEKUMPULAN anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Pemuda PKR menggesa Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) membatalkan kongres sayap itu yang dicemari insiden keganasan hari ini.

Timbalan ketua sayap itu Hilman Idham mengaitkan kejadian keganasan itu dengan tindakan sabotaj dan mahu setiausaha Pemuda PKR bertanggungjawab.

“Kami berasa amat kecewa kerana usaha terancang tersebut telah menghalang ratusan perwakilan dan pemerhati yang sah untuk masuk ke Dewan Kongres,” katanya kepada pemberita.

Katanya, aduan akan dibuat kepada polis dan juga kepada Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail dan RoS untuk menggesa kongres dibatalkan dan diadakan semula.

Tegasnya, Setiausaha Pemuda PKR Syukri Razab perlu bertanggungjawab kerana menyekat perwakilan dan membawa kepada kejadian keganasan.

“Kami juga mahu Sekretariat Penganjuran Kongres AMK yang diterajui oleh Setiausaha AMK, Syukri Razab untuk mengambil tanggungjawab sepenuhnya di atas tindakan ‘Skuad Keselamatan AMK’...,” katanya.

Beliau mendakwa skuad itu menghalang perwakilan masuk ke dewan persidangan Dewan Kongres dalam kejadian yang menyaksikan pemimpin sayap dan parti itu dikasari.

Dakwanya, kumpulan berbaju hitam itu merampas hak perwakilan berkenaan daripada mengikuti kongres.

“Kami kecewa kerana usaha ini menghalang ratusan perwakilan dan pemerhati yang sah daripada masuk ke dewan kongres.

“Hak perwakilan dan pemerhati dirampas sekumpulan pemuda berbaju hitam yang turut diragui status keahliannya,” kata Hilman, kepada pemberita.

Menurut Adun Gombak Setia itu lagi, pihaknya menganggarkan 500 perwakilan dan pemerhati gagal masuk ke dalam dewan bagi menghadiri persidangan.

Beliau turut menuntut parti itu memberi jaminan keselamatan untuk mengelak kejadian keganasan berterusan semasa kongres sayap itu.

Adun Gombak Setia itu berkata, beliau bersama kira-kira 20 anggota MPP sayap itu tidak akan hadir ke kongres tersebut esok sekiranya parti tidak memberi jaminan keselamatan.

“Esok harap ada jaminan daripada ibu pejabat untuk seluruh pimpinan, perwakilan dan pemerhati (Pemuda PKR) dari seluruh negara untuk hadir ke kongres.

“Kita tak mahu kita hadir tapi tak dibenarkan masuk, dipukul dan tidak diraikan. Esok kita akan hadir kalau ada jaminan pimpinan.

“Itu pendirian diambil kita semua berdasarkan hasil rundingan dan perbincangan antara presiden (Anwar Ibrahim) dan timbalan presiden (Mohamed Azmin Ali) tempoh hari,” kata Hilman.

Beliau dan pengikutnya itu juga tidak hadir ke sesi petang hari ini susulan insiden keganasan yang berlarutan sewaktu kongres hari ini.

“Pimpinan (Pemuda PKR) sebulat suara setuju tak hadir dan teruskan sesi petang kongres atas faktor keselamatan,” katanya yang juga setiausaha politik Azmin.

Pengerusi Majlis Penasihat PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail dijadualkan memberikan ucapan perasmian penutup kongres Pemuda dan Wanita petang ini.

Insiden keganasan itu turut menyaksikan pergaduhan berlaku antara perwakilan dan pemerhati sehingga mengakibatkan kecederaan.

Dalam kejadian pertama pagi ini, bekas pengerusi tetap Muhammad Mizan Adli Mohd Noor yang dipecat daripada parti dihalau keluar kerana cuba mempengerusikan persidangan.

Kekecohan tercetus sekali lagi pada petang ini apabila sekumpulan individu bergelut dengan kumpulan remaja berbaju hitam di luar dewan persidangan.– 6 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen